Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Masyarakat Islam New Zealand bantah perlindungan untuk kumpulan SiHulk

Anggaran Waktu Membaca:
Masyarakat Islam New Zealand bantah perlindungan untuk kumpulan SiHulk

Petikan gambar video tular yang menunjukkan beberapa pengikut ajaran sesat SiHulk mempercayai Nabi Muhammad s.a.w adalah Tuhan.

KUALA LUMPUR: Masyarakat Islam di New Zealand membantah pemberian perlindungan atau suaka bagi pengikut ajaran sesat, SiHulk yang menjadikan negara itu sebagai tempat untuk berlindung.

Difahamkan, bantahan itu sudah dihantar menerusi satu notis rasmi kepada pemerintah New Zealand, antara lain mendesak supaya kumpulan terbabit tidak diberikan perlindungan, lapor Harian Metro.

Pada masa sama, notis itu juga mendesak pemerintah New Zealand untuk membekukan akaun yang ada hubung kait dengan kumpulan tersebut, mengharamkan produk minuman keluaran mereka yang dijual di negara terbabit dan turut dilabel sebagai ancaman umat Islam kepada masyarakat Islam di negara berkenaan.

Itu antara notis bantahan daripada masyarakat Islam di negara berkenaan berhubung keberadaan pengikut ajaran sesat itu termasuk ketua mereka, Suhaini Mohamad, yang dipercayai tinggal di Rotorua, New Zealand.

Perkara itu didedahkan oleh sumber keselamatan yang memaklumkan bahawa masyarakat Islam di negara berkenaan tidak senang dengan kewujudan mereka, terutamanya ajaran serta fahaman songsang yang dibawa.

"Mereka mahu pemerintah New Zealand mengambil tindakan segera sebelum fahaman itu menular dalam kalangan umat Islam di negara itu.

"Kami juga difahamkan bahawa pengikut ajaran ini turut melaksanakan aktiviti perniagaan termasuk menjual beberapa produk, termasuk minuman," katanya, semalam.

Mufti New Zealand Sheikh Muhammad Amir ketika dihubungi Harian Metro berkata, pihaknya menyedari kewujudan kumpulan ajaran sesat itu di negara itu dan langkah pemantauan sedang dilaksanakan, seperti ditukil laporan Harian Metro.

"Pada masa sama, kita juga sedang menyebarkan maklumat kepada semua umat Islam di negara ini supaya menjauhi kumpulan terbabit dan tidak terpengaruh dengan dakyah songsang mereka.

"Untuk meletakkan kawalan atau mengambil tindakan terhadap kumpulan ini, kita tidak mempunyai kuasa kerana New Zealand adalah negara yang mengamalkan keterbukaan.

"Apa yang boleh kita lakukan adalah menyebarkan maklumat berhubung kumpulan terbabit supaya tidak ada umat Islam di negara ini yang terjebak dengan fahaman songsang mereka," katanya.

Sebelum ini, Metro Ahad melaporkan pengakuan ketua ajaran terbabit, Suhaini berhubung tafsirannya tentang dua kalimah syahadah yang jauh menyimpang daripada maksud sebenar.

Selain itu, Harian Metro juga melaporkan secara eksklusif terdapat kira-kira 150 pengikut kumpulan itu termasuk Suhaini, kini berada di New Zealand.

Mereka menjadikan negara itu sebagai 'negara pelindung' apabila gerak geri mereka mula dihidu pihak berkuasa di Malaysia.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan