Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Masyarakat Islam Indonesia alu-alukan ketibaan Ramadan tanpa sekatan COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:
Masyarakat Islam Indonesia alu-alukan ketibaan Ramadan tanpa sekatan COVID-19

Umat Islam di Jakarta mendirikan solat Tarawih di Masjid Istiqlal pada 26 Mac 2023. (Gambar: Adek Berry/AFP)

JAKARTA: Masyarakat Islam di Indonesia mengalu-alukan langkah pemerintah untuk menarik semula semua sekatan COVID-19 buat pertama kali semasa bulan Ramadan ini.

Namun, harga makanan terutama sekali beras dan minyak masak yang meningkat secara tidak langsung mencetus kekecewaan awam.

Perkara tersebut diburukkan lagi dengan laporan  berhubung skandal cukai yang melibatkan pegawai pemerintah.

TRADISI RAMADAN MASIH DIKEKALKAN

Sungguhpun demikian ratusan warga Jakarta Selatan masih mengekalkan tradisi seperti melakukan perarakan bagi mengalu-alukan ketibaan bulan suci Ramadan.

Tradisi yang digelar kirab Ramadan itu terpaksa digantung semasa pandemik COVID-19. 

Satu lagi tradisi yang disambung semula ialah ziarah ke pusara.

Seorang penduduk Jakarta, Encik Yusuf Anuari, berkata: "Bagi saya, ini untuk mengingatkan bahwa kita akan kembali kepada Allah itu sahaja - bahwa nanti anda juga akan masuk ke dalam liang kubur ini. Tapi kerana kita mahu menjelang puasa ini supaya puasanya itu ikhlas, jadi kita diingatkan agar lebih  tekun untuk beribadah."

SUASANA DI MASJID KEMBALI MERIAH

Para jemaah di Masjid Istiqlal di Jakarta iaitu masjid  terbesar di Indonesia juga mengalu-alukan pemansuhan pelbagai sekatan terkait pandemik, pada Ramadan kali ini.

"Ibadah pada saat sekarang ini lebih nikmat daripada tahun-tahun sebelumnya kerana pada saat ini semuanya bebas daripada batas-batas, tidak ada batasan-batasan lagi. Masjid, seluruh masjid itu menerima seberapa pun jemaah yang akan beribadah. 

"Sudah enaklah setelah dibebaskan dari perintah sekatan. Kelmarin susah betul mahu ke sana-sini, dibatasi gerak masyarakat dibatasi. Sekarang Alhamdulillah, sudah dicabut bererti seperti burung yang bebas dari sangkar," kongsi seorang jemaah, Encik Ahmad Mualim Ade.

Semua masjid di seluruh Indonesia dibenarkan menganjurkan solat tarawih dengan kapasiti penuh dan jemaah juga tidak lagi perlu memakai pelitup.

Tahun lalu ketika Jakarta masih dibawah sekatan Covid-19, Masjid Istiqlal hanya membenarkan sehingga 10,000 jemaah solat di dalam dewan. 

Tahun ini, dengan tiadanya sekatan lagi, Istiqlal membuka pintunya lebih luas dengan membenarkan sehingga 150,000 orang solat di dalam masjid.

Walaupun pelbagai sekatan ditarik balik, pihak berkuasa menggesa orang ramai agar kekal berwaspada sedang Indonesia melangkah ke fasa endemik. 

Pemerintah Indonesia memberi amaran  sekatan COVID-19 akan dikuatkuasakan semula jika julamh kes melonjak.

"Kalau ada orang yang rasa kurang sihat atau  selesema, batuk lebih baik duduk di rumah. Kalau di sini kalau boleh, yang memang benar-benar sihat, jadi kita juga sama-sama selesa," luah seorang lagi jemaah Cik Wahidayah.

LANGKAH KONTROVERSI YANG TARIK PERHATIAN WARGA INDONESIA

Ramadan juga masa untuk orang Muslim berbuka bersama-sama selepas sehari berpuasa.

Dalam satu langkah penuh kontroversi, Presiden Indonesia Joko Widodo sebelum ini melarang kakitangan awam mengadakan majlis berbuka puasa beramai-ramai demi mencegah penularan COVID-19.

Pemerintah kemudian menjelaskan larangan itu tidak berlaku ke atas orang awam tetapi lebih disasarkan kepada pejabat pemerintah agar lebih berhemat memandangkan keadaan ekonomi yang belum pulih sepenuhnya.

"Ketika ini kakitangan awam negara, pejabat pemerintah  sedang mendapatkan sorotan yang sangat tajam dari masyarakat. Untuk itu Presiden meminta kepada jajaran pemerintah untuk berbuka puasa dengan pola hidup yang sederhana tidak melakukan atau mengundang kakitangan pejabat semasa mereka melakukan buka puasa bersama," tegas Setiausaha Kabinet Indonesia Pramono Anung.

Masjid-masjid turut menggesa kakitangan awam untuk sebaiknya menderma kepada pihaknya daripada menganjurkan acara berbuka puasa yang mewah.

Imam Besar Masjid Istiglal Nasaruddin Umar berkata: "Sudah beri sahaja ke masjid supaya nanti dinikmati oleh orang-orang yang lebih layak menikmatinya. Bawa ke Istiqlal. Jadi kita lima ribu orang sehari berbuka di Istiqlal. Cuba dibayangkan kali 3,000 rupiah sahaja satu kotak, itu sama dengan sekian sehari. Itu belum lagi makan sahurnya. 

"Jadi pengeluaran yang paling besar kita di segala tahun ini adalah memberi makan kepada para saimin saimat dan peserta iktikaf."

Yang penting, Ramadan merupakan bulan paling dinanti-nantikankan umat Islam Indonesia.

Dengan semua sekatan COVID-19 ditarik balik, negara yang mempunyai jumlah penduduk Muslim paling ramai di dunia kembali meraikan bulan suci itu dengan penuh kesyukuran.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan