Masyarakat Islam Christchurch 'takut', elak ke masjid sebulan selepas serangan pengganas
Empat minggu sudah berlalu sejak detik hitam pembunuhan beramai-ramai di dua masjid di New Zealand yang mengejutkan negara itu.

Gambar: WILLIAM WEST/AFP
CHRISTCHURCH: Empat minggu sudah berlalu sejak detik hitam pembunuhan beramai-ramai di dua masjid di New Zealand yang mengejutkan negara itu. Namun, masyarakat Islam Christchurch berdepan cabaran untuk meredakan perasaan takut dalam kalangan para jemaah dan mendapatkan mereka datang ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat seperti biasa.
"Mereka masih lagi berasa sangat takut," kata Imam masjid Linwood Ibrahim Abdelhalim.
"Lazimnya, kami boleh menjangkakan sekitar 100 jemaah tetapi sekarang hanya kira-kira 30 orang."
Warga Australia 28 tahun, Brenton Tarrant, seorang pelampau haluan kanan kulit putih, dikenakan 50 tuduhan membunuh dan 39 tuduhan percubaan membunuh setelah melepaskan tembakan di masjid-masjid Linwood dan Al Noor pada 15 Mac lalu.

Brenton Tarrant didakwa atas tuduhan membunuh berhubung serangan pengganas yang dilancarkan ke atas dua masjid di Christchurch, New Zealand. (Gambar: Mark Mitchell/New Zealand Herald/Reuters)
Masyarakat Islam Christchurch digegarkan lagi minggu ini apabila seorang lelaki 33 tahun, berpakaian kemeja-T memaparkan nama Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, menjerit kata-kata cacian kepada para jemaah di masjid Al Noor.
Daniel Nicholas Tuapawa, yang mengaku bersalah di mahkamah pada Jumaat (12 Apr) kerana bertindak dengan cara yang "boleh menyebabkan keganasan" berkata dia tidak menyedari apa yang dilakukannya sehingga polis menunjukkannya satu video dia sedang berteriak komen-komen kesat termasuk "semua orang Islam pengganas".
Tuapawa berkata dia mengalami isu kesihatan mental dan tidak memendam perasaan buruk terhadap orang Islam.
"Ia berlaku hanya kerana ia kerap tersiar di berita-berita dan dalam kepala saya," katanya.
EPISOD NGERI TERUS BERLEGAR DI KEPALA
Imam Ibrahim berkata ramai orang Islam yang mahu kembali ke masjid-masjid dihantui "imbasan kembali dan itu tidak bagus."
Polis New Zealand mengeluarkan kenyataan bahawa tahap ancaman negara itu "kekal tinggi" sebulan selepas kejadian pembunuhan itu meskipun pengganas tersebut dipercayai bertindak sendirian.

Kebimbangan keselamatan membawa kepada satu penurunan drastik acara-acara memperingati Hari Anzac pada lewat bulan ini, satu hari peringatan kebangsaan bagi rakyat New Zealand dan Australia yang berjuang dalam peperangan dan operasi penjagaan keamanan.
Di Auckland, acara tersebut hanya akan berlangsung di 26 tempat - kurang daripada hampir 90 acara tahun lepas,. Menurut Komander Polis bandar itu, Karyn Malthus, ini akan memudahkan polis untuk memelihara keselamatan awam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.