Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Masyarakat diseru henti sebar video mandikan remaja

Masyarakat diharap menghentikan penyebaran video mengenai seorang imam dan sekumpulan jemaah sebuah masjid di Selangor yang bertindak memandikan seorang remaja seperti ‘jenazah’ kerana cuba mencuri tabung masjid, dalam media sosial.

Anggaran Waktu Membaca:

SHAH ALAM: Masyarakat diharap menghentikan penyebaran video mengenai seorang imam dan sekumpulan jemaah sebuah masjid di Selangor yang bertindak memandikan seorang remaja seperti ‘jenazah’ kerana cuba mencuri tabung masjid, dalam media sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata penyebaran video tersebut tidak membawa sebarang kebaikan kepada kedua-dua pihak, malah mengundang kutukan daripada masyarakat dengan pelbagai komen negatif.

“Selain menjatuhkan maruah remaja terlibat, ia juga turut memberikan persepsi buruk tentang sikap pengurusan institusi masjid,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat (14 Jan).

Mohd Zawawi berkata tindakan sewajarnya diambil oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selaku agensi kerajaan yang bertanggungjawab menguruskan institusi masjid di negeri itu sebaik sahaja mendapat maklumat yang betul tentang perkara tersebut. 

“Saya difahamkan imam yang terlibat telah mengambil tindakan meletakkan jawatan dan JAIS sedang meneliti perkara ini untuk tindakan lanjut,” katanya.  

Dalam pada itu, beliau turut menyeru masyarakat khasnya umat Islam di Selangor supaya bertenang dan tidak mengambil pendekatan agresif dalam menangani apa-apa isu dan kes yang melibatkan institusi Islam. 

“Biarlah pihak berkuasa melaksanakan tugas mereka mengikut lunas undang-undang, manakala masyarakat setia membantu pihak berkuasa untuk menyempurnakan tugas dan bukannya mengambil alih tugas pihak berkuasa,” katanya.   

Media melaporkan seorang remaja yang videonya tular dalam media sosial kerana dimandikan seperti 'jenazah' akibat cuba mencuri tabung masjid, dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 (S$1,290) oleh Mahkamah Majistret Selayang pada Khamis (13 Jan).

Video berdurasi satu minit 25 saat itu memaparkan tindakan jemaah masjid memandikan lelaki itu seperti jenazah serta dia dilumurkan dengan kapur barus selepas ditangkap kerana perbuatannya itu.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan