Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Masyarakat antarabangsa mesti sekat kiriman senjata kepada Myanmar & selaraskan sekatan, kata utusan khas PBB

Anggaran Waktu Membaca:
BANGKOK: Masyarakat antarabangsa perlu menghentikan kiriman bekalan senjata ke Myanmar dan bergabung tenaga untuk mengenakan sekatan yang selaras terhadap pemerintah junta negara itu.

Demikian menurut Tom Andrews, utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Rabu (12 Apr).

Encik Tom Andrews turut menarik perhatian bahawa pemerintah tentera Myanmar turut menerima bekalan senjata daripada beberapa negara anggota PBB dan menggesa negara-negara itu supaya berhenti menghantar bahan-bahan mentah kepada junta Myanmar.

"Apa yang saya harapkan adalah negara anggota PBB akan ... memberi tekanan terhadap negara-negara anggota yang menyediakan junta tentera dengan senjata, dengan teknologi yang boleh digunakan sebagai senjata, dan dengan bahan mentah yang boleh digunakan untuk menghasilkan senjata," kata utusan khas PBB mengenai hak asasi manusia di Myanmar dalam wawancara Asia First di saluran CNA.

Ini berlaku sehari selepas serangan udara tentera di negara tersebut meragut berpuluh-puluh nyawa.
Encik Andrews mengutuk serangan udara yang dilakukan pada Selasa (11 Apr) di bandar Kanbalu yang terpencil di wilayah Sagaing, sebagai "sangat kejam" dan "tidak boleh diterima". Beliau menambah bahawa serangan udara tersebut adalah sebahagian daripada "corak yang membimbangkan" dengan lebih banyak helikopter bersenjata dan bom digunakan.

Tentera tersebut, yang mengambil alih negara itu dalam satu rampasan kuasa pada 2021, mengaku bertanggungjawab atas serangan udara yang dilancarkan itu tetapi menafikan tindakan membunuh orang awam. Ia sebaliknya, mendakwa serangan tersebut disasarkan kepada para pengganas.

Media tempatan menyatakan bahawa serangan berkenaan berlaku semasa satu upacara untuk merasmikan sebuah badan pentadbiran tempatan yang baru, yang menentang pentadbiran tentera.

Sekitar 150 orang dilaporkan berhimpun di acara tersebut.

PERLUNYA SEKATAN YANG DISELARASKAN

Masyarakat antarabangsa mesti menyediakan sokongan yang diperlukan warga Myanmar, termasuk "sekatan ekonomi yang ketat, sangat jelas, sangat tertumpu dan strategik untuk melemahkan keupayaan junta tentera dalam meneruskan serangan mereka", tekan Encik Andrews.

Beliau menarik perhatian bahawa terdapat beberapa sekatan yang dilaksanakan oleh beberapa negara untuk menyokong warga Myanmar dan memberi tekanan kepada pemimpin junta.

"Masalahnya adalah ia tidak mempunyai kaitan. Ia tidak diselaraskan. Ia tidak strategik, berdasarkan di mana perkara paling baik boleh dilakukan ... di mana junta paling terdedah," katanya.

Lantaran itu, sekatan yang sedia ada adalah kurang berkesan berbanding apa yang dimampuinya, tambah Encik Andrews.

Beliau mengusulkan agar negara-negara yang ingin memberi tekanan kepada pemerintah junta supaya "duduk bersama dan bekerjasama dengan cara yang diselaraskan". Negara-negara tersebut harus mewujudkan perikatan strategik yang melaksanakan sekatan yang diselaraskan dan praktikal, katanya.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan