Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Masjidil Haram, Masjid Nabawi dibuka pada kapasiti penuh mulai hari ini

Solat berjemaah dengan kapasiti penuh dibenarkan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi bermula hari ini (17 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Masjidil Haram, Masjid Nabawi dibuka pada kapasiti penuh mulai hari ini

(Gambar: AP)

Diterbitkan : 17 Oct 2021 05:27PM Dikemas Kini : 17 Oct 2021 05:28PM

KUALA LUMPUR: Solat berjemaah dengan kapasiti penuh dibenarkan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi bermula hari ini (17 Okt).

Demikian adalah antara enam perkara berkaitan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 terbaru yang diumumkan kerajaan Arab Saudi pada Jumaat.

Menerusi infografik yang dimuat naik ke laman Twitter rasminya, Kementerian Dalam Negeri (MOI) Arab Saudi memaklumkan kerajaan tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka di tempat terbuka, kecuali di beberapa tempat tertentu dan tertutup termasuk di kedua-dua masjid suci berkenaan.

“Pekerja dan pengunjung dua masjid suci tetap diwajibkan memakai pelitup sepanjang berada di dalamnya selain wajib mendaftar menerusi aplikasi Eatmarna atau Tawakkalna”, katanya.

Kementerian juga memberi kebenaran kepada sistem pengangkutan awam, restoran, panggung wayang, dewan acara dan sebagainya untuk beroperasi pada kapasiti penuh tanpa tertakluk kepada arahan penjarakan fizikal.

Bagaimanapun, hanya penerima dua dos vaksin yang dibenarkan memasuki kesemua premis berkenaan.

Kebenaran ini juga diberikan kepada golongan yang dikecualikan daripada mengambil vaksin atas faktor kesihatan dengan mereka diwajibkan memakai pelitup separuh muka.

Menurut kementerian itu lagi penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup separuh muka masih diwajibkan di tempat-tempat yang tidak dapat disahkan tahap kesihatan pengunjungnya menerusi aplikasi Tawakkalna.

Pemilik premis awam dan swasta pula wajib mengesahkan tahap vaksinasi pengunjung melalui aplikasi Tawakkalna sebelum mereka dibenarkan memasuki premis masing-masing.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan