Skip to main content

Dunia

Masjid terbesar Australia terima surat ketiga ancam bunuh umat Islam

Anggaran Waktu Membaca:
Masjid terbesar Australia terima surat ketiga ancam bunuh umat Islam
Polis memaklumkan pihaknya memandang serius surat ugutan terbaharu yang dihantar ke Masjid Lakemba di Sydney, New South Wales semasa bulan Ramadan. (Gambar: REUTERS)
Diterbitkan : 20 Feb 2026 07:16AM Dikemas Kini : 20 Feb 2026 11:54AM
CANBERRA: Polis Australia melancarkan siasatan selepas tiga surat ugutan dihantar ke masjid terbesar negara itu hanya beberapa jam sebelum bermulanya bulan suci Ramadan, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan.

Surat yang dihantar ke Masjid Lakemba di Sydney, New South Wales mengandungi gambar seekor babi dilukis dengan tangan serta ugutan untuk membunuh “umat Islam”, lapor penyiar tempatan ABC News.

Surat itu turut merujuk kepada lelaki yang melakukan pembunuhan beramai-ramai di Christchurch, New Zealand.

Bercakap kepada para wartawan pada Khamis (19 Feb), Pesuruhjaya Polis New South Wales Mal Lanyon mengesahkan beliau melihat surat berkenaan. “Kami sudah mengambilnya dan sedang menjalankan siasatan.”

Dua surat terdahulu yang dihantar ke masjid itu sejak beberapa minggu kebelakangan ini termasuk satu yang menggambarkan bangunan berkenaan terbakar.

Para pemimpin masyarakat berkata perkembangan terbaharu itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, memandangkan beberapa ribu jemaah menghadiri solat di masjid tersebut sepanjang Ramadan.

“Kami menerima begitu banyak pertanyaan tentang sama ada selamat untuk pergi bersolat,” kata Setiausaha Persatuan Muslim Lubnan Gamel Kheir yang menguruskan masjid itu kepada ABC News.

“Itu bukan persoalan yang patut ditanya oleh mana-mana rakyat Australia.”

Insiden itu berlaku ketika kebimbangan semakin meningkat terhadap sikap perkauman dan Islamofobia di Australia.

Satu kajian nasional yang dikeluarkan awal bulan ini mendapati hampir 79 peratus kakitangan dan pelajar universiti pernah mengalami isu perkauman di kampus.

Para pemimpin masyarakat berkata ugutan terhadap masjid itu tidak boleh dilihat secara berasingan.

Ketegangan kekal memuncak sejak serangan maut di Pantai Bondi pada lewat tahun lalu.

Perdana Menteri Anthony Albanese sebelum ini mengecam ugutan terhadap institusi-institusi keagamaan dan menegaskan serangan yang menyasarkan masyarakat beragama tidak mempunyai tempat di Australia.

Polis memaklumkan bahawa pihaknya memandang serius terhadap surat terbaharu itu sedang Ramadan disambut oleh masyarakat Muslim.
Sumber : Bernama/Agensi berita/AW/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita