Masjid Nabawi lancar pelan operasi sempena musim Haji 1446H
Pejabat Presiden untuk Hal Ehwal Agama di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi pada Isnin (12 Mei) melancarkan pelan operasi berasaskan pelbagai teras bagi Masjid Nabawi sempena musim Haji 1446 Hijrah.

Pelan operasi sempena musim Haji 1446 Hijrah bagi Masjid Nabawi dilancarkan pada 12 Mei 2025. (Gambar: Bernama)
Menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA), pelan itu merangkumi 100 inisiatif untuk memupuk kesedaran serta lima laluan pintar yang memperkayakan pengalaman digital jemaah haji.
Selain itu, ia turut menyediakan 20 laluan ilmu yang merangkumi tujuh bidang kepakaran agama, bagi menyampaikan mesej haji kepada dunia dalam pelbagai bahasa, sambil menyokong mesej Masjid Nabawi tentang kesederhanaan dan keseimbangan.
Pelan berkenaan berteraskan tiga tonggak utama. Pertama, memanfaatkan kesucian waktu haji dengan menekankan kepentingan ibadah tersebut serta mesej globalnya yang sederhana.
Kedua, mengukuhkan kesucian tempat dengan menyampaikan panduan daripada dua Masjid Suci kepada seluruh dunia.
Ketiga, menyediakan pengalaman kerohanian yang berkualiti, cemerlang dan inovatif dalam rangka kerja berstruktur.
Usaha tersebut selaras dengan mesej kesederhanaan haji serta kesannya yang bersifat sejagat.
Dalam ucapannya semasa pelancaran pelan itu, Ketua Hal Ehwal Agama di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Abdulrahman Al-Sudais menegaskan bahawa agensi hal ehwal agama Masjid Nabawi telah menggerakkan sepenuhnya segala sumber untuk memberi khidmat kepada jemaah dan memastikan mereka memperoleh pengalaman kerohanian yang istimewa.
Tambahnya, pelan itu turut memanfaatkan alat transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi mengatasi halangan masa dan jarak serta menyampaikan mesej haji yang sederhana dan bersifat kemanusiaan kepada dunia dalam pelbagai bahasa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.