Skip to main content

Dunia

Masjid Nabawi dibuka untuk solat tarawih dengan langkah berwaspada terus dilaksana

Para jemaah boleh melakukan solat tarawih sepanjang bulan Ramadan di samping mematuhi langkah-langkah pencegahan dan berjaga-jaga.

Anggaran Waktu Membaca:
Masjid Nabawi dibuka untuk solat tarawih dengan langkah berwaspada terus dilaksana

(Gambar: Amien Taryamin/Unsplash)

Diterbitkan : 20 Mar 2021 12:25PM Dikemas Kini : 20 Mar 2021 12:28PM

MADINAH: Para jemaah boleh melakukan solat tarawih sepanjang bulan Ramadan di samping mematuhi langkah-langkah pencegahan dan berjaga-jaga.

Demikian diumumkan oleh Pentadbir Ehwal Dua Masjid Suci pada Khamis (18 Mac), seperti yang dilaporkan Saudi Gazette.

"Solat Tarawih akan dijalankan di Masjid Nabawi semasa bulan Ramadan selain solat lima waktu," kata Sheikh Dr. Abdulrahman Al-Sudais, Presiden Pejabat Pentadbir Ehwal Dua Masjid Suci, sambil merujuk kepada rancangan pihak pentadbiran bagi bulan Ramadan.

Beliau juga berkata rancangan itu termasuk program-program, sasaran, alternatif, kecemasan dan pengurusan krisis sepanjang bulan Syaaban dan Ramadan serta cuti Aidilfitri, lapor Saudi Gazette.

Beliau menambah rancangan itu dilakarkan dengan teliti semasa menimbangkan kesan perintah terkini tentang program-program dan matlamat serta jumlah jemaah dan pengunjung yang keluar masuk Masjid Nabawi.

"Musim tahun ini luar biasa di tengah-tengah pandemik COVID-19, di mana jumlah jemaah di dalam Masjid Nabawi dihadkan kepada jumlah tertentu, seiring dengan langkah-langkah berjaga-jaga yang ditetapkan," tegas Sheikh Dr. Abdulrahman.

Sebagai sebahagian daripada rancangan itu, Masjid Nabawi akan ditutup setengah jam selepas solat tarawih dan akan dibuka semula dua jam sebelum solat Subuh kecuali pada 10 malam terakhir Ramadan, yang mana ia akan dibuka 24 jam.

Jumlah keseluruhan jemaah dalam bulan Ramadan adalah 60,000 pada satu-satu masa berdasarkan langkah jarak selamat yang dikuatkuasakan, menurut laporan Saudi Gazette.

Masjid Nabawi mempunyai keupayaan operasi untuk menampung maksimum 45,000 jemaah sementara ruang baru di bahagian barat dapat menampung 15,000 jemaah.

Para jemaah dibenarkan bersembahyang di "Kawasan Hassawaat", kawasan peluasan, bumbung dan ruang yang disediakan, menurut pelan kumpulan berdasarkan jumlah jemaah dan pelaksanaan langkah berjaga-jaga.

Solat di dalam Masjid Nabawi dan Raudah akan terus dihadkan kepada para pekerja dan kakitangan masjid itu serta saudara-mara jenazah dan mereka yang menghadiri upacara pengebumian, sekiranya ada kematian.

Pada bulan Ramadan lalu, pihak berkuasa menggantung solat tarawih di kedua-dua masjid suci, iaitu Masjid Nabawi dan Masjidil Haram, dalam usahanya membendung penularan COVID-19 di Arab Saudi. 

Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita