Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Masjid ini tawar hadiah wang tunai bagi jemaah bawa keluarga solat Subuh

Anggaran Waktu Membaca:
Masjid ini tawar hadiah wang tunai bagi jemaah bawa keluarga solat Subuh

Gambar: Facebook/ Masjid Nur Assa'adah

MELAKA: Masjid Nur As-Sa'adah, Pengkalan Batu di Melaka menawarkan hadiah wang tunai RM4,000 (S$1,280) kepada ahli kariah masjid yang istiqamah mengerjakan solat Subuh.

Pengerusinya, Amzah Osman berkata, program itu lanjutan daripada inisiatif pemberian hadiah berbentuk basikal dan motosikal kepada kanak-kanak serta belia yang menunaikan solat jemaah di masjid itu selama 40 hari, lapor Sinar Harian.

Menurutnya, antara syarat yang akan ditetapkan termasuk jemaah perlu memastikan isteri dan anak-anak hadir ke masjid untuk berjemaah menunaikan solat Maghrib dan Isyak dalam tempoh itu.

"Kita nak lihat ahli-ahli kariah ini dapat hadir bersama keluarga dan pemilihan juga dilihat dari segi mereka yang paling ramai membawa anggota keluarga ke masjid.

"Kita rancang laksanakan program ini selepas Hari Raya Aidilfitri ini, akan diadakan pemberian hadiah wang tunai untuk Keluarga Sakinah itu," katanya selepas majlis Tadarus al-Quran dan penyampaian sumbangan baju raya anjuran Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (PPP) Daerah Hang Tuah Jaya pada Isnin (18 April).

Tambah Sinar Harian lagi, turut hadir menyempurnakan penyampaian sumbangan itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Kalsom Nordin.

Jelasnya, sebelum ini pemberian beberapa buah basikal kepada anak-anak yang cemerlang solat Subuh dan semua program yang dilaksanakan mendapat peruntukan daripada individu perseorangan dan dermawan.

"Kita akan terus menceriakan bulan Ramadan dengan pelbagai program dan aktiviti yang dapat menarik kariah untuk mengimarahkan masjid termasuk qiamullail tidak lama lagi," katanya.

Pada Mac lalu, masjid tersebut menarik tumpuan ramai apabila menawarkan hadiah empat buah motosikal berjumlah RM16,000 (S$5,122.22) serta 40 buah basikal bernilai RM20,000 (S$6,402.77) kepada anak kariah yang istiqamah solat Subuh dan Isyak selama 40 hari, lapor Sinar Harian.

Sumber : Agensi berita/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan