Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Masjid eko pertama Eropah cetus ilham tangani perubahan iklim

Masjid hijau pertama Eropah yang dibina di bandar Cambridge, London, berharap untuk memanfaatkan pengaruh agama Islam dalam menangani perubahan iklim. 

Anggaran Waktu Membaca:
Masjid eko pertama Eropah cetus ilham tangani perubahan iklim

Masjid Besar Cambridge. (Gambar: Marks Barfield/Instagram)

Diterbitkan : 23 May 2019 06:15PM Dikemas Kini : 23 May 2019 06:18PM

LONDON: Masjid hijau pertama Eropah yang dibina di bandar Cambridge, London, berharap untuk memanfaatkan pengaruh agama Islam dalam menangani perubahan iklim. Ini dengan menggesa umat Islam yang beribadah di masjid baru itu supaya melakukan lebih banyak lagu usaha untuk melindungi bumi.

Aktivis-aktivis alam sekitar berkata, sebagai antara agama paling pesat berkembang di dunia, Islam boleh menjadi suatu kuasa amat besar jika umatnya bertindak melindungi alam sekitar. Atas alasan itulah, Masjid Besar Cambridge memainkan peranannya.

Masjid Besar Cambridge. (Gambar: Marks Barfield/Instagram)

Terletak di bandar universiti terkenal dunia, Cambridge, masjid berkenaan membuka pintunya pada bulan Mei sempena Ramadan. Ia dihiasi tiang bersilang, dibaluti panel suria serta dikelilingi pokok ‘crab apple’, atau epal masam, dengan ruang luas bagi menampung 1,000 jemaah dan mendukung misi menjadi contoh untuk kebaikan iklim.

“Masjid ini melambangkan kerohanian masyarakat Islam, ia nadi utama yang menghubungkan umat dengan Allah,” kata penaung pengamanah masjid, iaitu penyanyi dan pemuzik, Cat Stevens.

Beliau yang popular dengan lagu ‘Wild World’ dan ‘Morning Has Broken’, memeluk Islam pada 1970-an dan kini dikenali sebagai Yusuf Islam. Beliau berkata umat Islam mempunyai peranan penting dalam menangani krisis iklim.

“Masjid ini adalah sebahagian proses pendidikan semula, menggali lebih dalam mengenai Islam sebenar untuk mendedahkan keharmonian dengan keseimbangan alam semesta.

“Ramai umat Islam terlupa mengenai perkara ini dan tidak menyumbang untuk menangani krisis iklim masa kini,” ujar beliau lanjut.

Masjid bernilai AS$30 juta (S$41 juta) itu, yang sebahagian besarnya dibiayai kerajaan Turki, menyambut kedatangan ratusan jemaah solat Terawih sepanjang Ramadan.

Dengan air hujan yang dikitar semula pengairan kebun dan pam haba yang menjana tenaga, masjid itu menyatakan ia menghasilkan hampir sifar pelepasan karbon dan mempunyai kelayakan hijau yang lebih baik berbanding ribuan masjid lain merata Eropah.

Masjid Besar Cambridge dihiasi tiang bersilang dibaluti panel suria dan dikelilingi pokok ‘crab apples’, dengan ruang untuk 1,000 jemaah. (Gambar: Agensi berita)

Jendela-jendela langit besar menerangi dewan solat utama. Maka itu, tidak ada lampu buatan yang perlu dihidupkan pada siang hari. Sementara itu, bumbung masjid berkenaan pula mempunyai panel-panel yang mengubah cahaya matahari menjadi bekalan kuasa tenaga.

"Quran menekankan keindahan dan keharmonian dunia semula jadi sebagai tanda kekuatan serta kebijaksanaan kreatif Allah," kata pengerusi amanah dan profesor Universiti Cambridge, Timothy Winter yang juga dikenali sebagai Abdal Hakim Murad.

"Perjuangan menentang perubahan iklim serta kepupusan besar-besaran spesies bukan sahaja merupakan persoalan praktikal tentang kelangsungan hidup manusia tetapi merupakan perjuangan untuk menghormati dan melindungi ciptaan Allah." 

Sumber : Reuters/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan