Masjid Al Noor dan Linwood diserahkan kembali kepada penduduk Muslim Christchurch
Umat Islam menunaikan solat buat pertama kali sejak serangan pengganas yang membunuh 50 jemaah di masjid Al Noor.
CHRISTCHURCH: Umat Islam menunaikan solat buat pertama kali sejak serangan pengganas yang membunuh 50 jemaah di masjid Al Noor. Mereka sedang berusaha untuk menjalani kehidupan seperti biasa.
Masjid Al Noor diambil alih oleh pihak polis untuk menjalankan siasatan dan atas sebab-sebab keselamatan setelah seorang penyokong tegar kuasa kulit putih menyerang para jemaah yang menunaikan solat Jumaat di sana dan di sebuah lagi masjid yang lebih kecil.
Masjid Al Noor diserahkan kembali kepada masyarakat Islam tempatan pada Sabtu (23 Mac) dan masjid berkenaan membenarkan sekumpulan kecil jemaah memasuki masjid sekitar waktu tengah hari.
"Kami membenarkan 15 orang pada satu-satu masa, hanya untuk mengembalikan keadaan seperti biasa," menuurt Encik Saiyad Hassen, seorang relawan di Masjid Al Noor. Beliau menambah bahawa belum ada rancangan untuk masjid itu dibuka sepenuhnya.
Antara jemaah yang pertama memasuki masjid itu ialah Encik Vohra Mohammad Huzef, yang terselamat daripada pertumpahan darah itu.
Encik Huzef, seorang jurutera awam yang berasal dari India, berkata bahawa dua rakan sebiliknya terbunuh dan beliau terselamat kerana bersembunyi di bawah mayat-mayat mangsa.
"Saya masih merasakan peluru-peluru itu terkena para jemaah dan saya boleh merasakan darah mangsa-mangsa yang ditembak mengalir ke badan saya," katanya.
"Semua orang mahu mendirikan solat di masjid ini. Ia adalah tempat utama bagi masyarakat kami berhimpun."
Serangan-serangan tersebut menggemparkan seramai 4.5 juta penduduk New Zealand yang terkenal dengan sikap toleransi mereka dan serangan-serangan itu mencetuskan kemarahan di seluruh dunia, yang diburukkan lagi dengan video yang disiarkan secara langsung mengenai pembunuhan beramai-ramai itu.
Polis New Zealand juga mengesahkan bahawa pihaknya sudah menyerahkan Masjid Linwood, tetapi belum ada pengumuman mengenai rancangan untuk membenarkan masuk para jemaah.
(Gambar: AFP)
Para pegawai polis bersenjata akan terus mengawal kedua-dua masjid, serta di merata New Zealand.
Para pekerja sedang membaiki tembok-tembok yang berlubang akibat terkena peluru dan membersihkan darah di lantai kedua-dua masjid.
Jemaah lelaki dan wanita dilihat mengerjakan solat di atas permaidani berwarna kelabu yang dipasang di lantai, kerana permaidani asal belum lagi digantikan.
Sekitar 2,000 orang berhimpun pada hari ini di taman bersebelahan masjid itu untuk menyertai acara "Perarakan Demi Kasih Sayang" di merata Christchurch.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.