Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Masih ramai ambil remeh terhadap influenza

"Lebih teruk daripada denggi!"

Anggaran Waktu Membaca:
Masih ramai ambil remeh terhadap influenza

Gambar hiasan. (Gambar: Karoly Arvai/Reuters)

Diterbitkan : 06 Sep 2018 11:40PM Dikemas Kini : 06 Sep 2018 11:44PM

KUALA LUMPUR: "Lebih teruk daripada denggi!"

Itulah respons Nur Ashikin Abdul Aziz ketika mengimbau kembali pengalamannya dijangkiti penyakit influenza semasa ditugaskan membuat liputan Program Pembudayaan Masyarakat Jepun di negara matahari terbit itu tahun lalu.

"Serangan influenza membuatkan tenaga dan sistem imun saya menyusut cepat. Dalam masa 24 jam, saya langsung tidak bermaya berbanding semasa menghidap denggi.

"Bayangkan, saya tidak pernah terbaring di kerusi hospital biar pun disebabkan denggi. Tetapi, apabila dijangkiti influenza, saya tiada tenaga langsung,” katanya kepada Bernama.

Wartawan di sebuah pertubuhan media itu berkata beliau dan beberapa rakan wartawan lain yang mengikuti rombongan tersebut mengambil remeh nasihat penganjur mengenai kepentingan pemakaian penutup hidung dan mulut serta menjaga kebersihan diri kerana pada masa itu, Jepun mengalami serangan influenza.

"Ketika diserahkan kepada keluarga angkat di Hokkaido, saya sudah pun rasa tidak sihat. Ingatkan demam biasa tetapi esoknya, masih sama lalu ibu angkat membawa saya ke farmasi untuk membeli ubat tetapi tidak berkesan.

"Akhirnya, terpaksa menghubungi pihak penganjur yang membawa kami ke hospital… rupa-rupanya, saya dan beberapa rakan media lain disahkan menghidapi influenza A ,” kata beliau.

Menurut Nur Ashikin, mereka diberi rawatan segera termasuk dengan menyedut ubat serbuk menerusi hidung dan mengambil beberapa jenis pil untuk meredakan kesakitan.

Rawatan pantas itu tidak mengurangkan suhu demam yang melebihi 39 darjah selsius ketika itu, namun ia membantu memberi kelegaan kepadanya dan wartawan lain serta tidak perlu dimasukkan ke wad.

SAMBIL LEWA

Mengakui masih ramai mengambil sikap sambil lewa dengan penyakit berkenaan, Presiden Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC), Profesor Dr Zamberi Sekawi, berkata ia kerana tahap kesedaran masyarakat mengenai influenza belum memuaskan.

"Majoriti besar daripada kita sering keliru antara demam selesema biasa atau influenza, yang juga dikenali sebagai flu, berikutan simptomnya adalah hampir sama seperti demam, batuk dan selesema.

"Dua penyakit itu berbeza dengan mereka yang dijangkiti influenza akan mengalami demam lebih teruk, batuk, sakit otot badan, sakit kerongkong, timbul pelbagai komplikasi penyakit lain seperti radang paru-paru, meningitis dan serangan asma yang berisiko menyebabkan kematian jika tidak dirawat awal.

“Sedangkan, demam selesema biasa tidak membawa maut. Ini menunjukkan bahawa penyakit influenza tidak boleh diambil ringan,” jelas Dr Zamberi.

Dr Zamberi, yang juga Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata influenza jarang diambil serius oleh rakyat Malaysia sedangkan ia sebenarnya boleh dan pernah menyebabkan wabak pada masa lalu.

Antara kumpulan berisiko tinggi adalah kanak-kanak di bawah usia lima tahun, wanita hamil, warga tua berusia lebih 65 tahun, penghidap penyakit pernafasan seperti asma serta penyakit obstruktif pulmonari kronik (COPD), pesakit kencing manis dan jantung selain pelancong.

PEMVAKSINAN

Hakikatnya, influenza boleh dicegah melalui pemvaksinan tetapi masih ramai individu berisiko tinggi mahupun yang tiada masalah kesihatan, tidak berbuat demikian.

Selain kurang kesedaran, mereka menganggap influenza adalah penyakit musim sejuk di negara-negara yang mengalami empat musim. Influenza juga berlaku di negara beriklim tropika seperti Malaysia berikutan mudahnya perjalanan udara pada masa kini.

Terdapat empat jenis influenza iaitu Influenza A (H1N1, H3N2), Influneza B (B/Yamagata dan B/Victoria).

Dr Zamberi menjelaskan seseorang itu boleh menyebarkan influenza sebelum dia menyedari dirinya dijangkiti kerana manusia mempunyai tahap imuniti berbeza antara satu sama lain.

Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatalogi Hospital Pakar KPJ Damansara, Dr Musa Mohd Nordin, pula berkata adalah menyedihkan melihat ramai yang bertanggapan pengambilan vaksin semasa hamil akan memudaratkan kesihatan bayi yang dikandung seperti kemungkinan berlaku kecacatan.

“Sedangkan kajian mendapati di Amerika Syarikat, yang menyuntik vaksin itu kepada dua juta wanita mengandung dari 2003 hingga 2005, tiada sebarang masalah berlaku kepada kandungan mereka.

“Ini membuktikan pengambilan vaksin adalah selamat untuk wanita hamil. Ia melindungi wanita hamil dan bayi sehinggalah beberapa bulan selepas dia dilahirkan,” kata beliau.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan setiap individu berusia enam bulan ke atas harus mengambil vaksin influenza setiap tahun kerana virus itu sentiasa bermutasi. 

Sumber : Bernama/AI/ai

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa