Masih ramai Ahli Parlimen pembangkang M'sia tidak isytihar harta
Masih ramai ahli Parlimen pembangkang terutama daripada Barisan Nasional (BN) belum membuat pengisytiharan harta walaupun prosesnya mudah, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Encik Mohd Rashid Hasnon.
Encik Mohd Rashid Hasnon. (Gambar: Bernama)
MACHANG: Masih ramai ahli Parlimen pembangkang terutama daripada Barisan Nasional (BN) belum membuat pengisytiharan harta walaupun prosesnya mudah, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Encik Mohd Rashid Hasnon.
Encik Mohd Rashid berkata situasi itu berbeza berbanding ahli Parlimen kerajaan yang sudah lama mempraktikkan perkara itu sejak dahulu, ketika bergelar pembangkang.
Beliau berkata pengisytiharan harta adalah penting bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan kepentingan selain tuduhan palsu sekaligus meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi politik.
"Proses ini senang sahaja. Dalam Parlimen sendiri juga ada wakil yang boleh menyokong. Kalau seseorang itu ada membeli rumah atau tanah termasuk di luar negara, kita boleh isytiharkan sekali.
“Macam di Pulau Pinang kita sudah lantik dua firma untuk membuat pengauditan untuk sahkan pengisytiharan harta yang dilakukan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Bual Bicara Bersama Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bertajuk ‘Reformasi Parlimen’ yang turut dihadiri Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan, Prof Madya Dr Zulkifli Mohamed di Dewan Profesional UiTM Machang, hari ini (17 Nov).
Mengulas lanjut, Encik Mohd Rashid berkata antara isu paling hangat mengenai pengisytiharan harta adalah berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini sedang dibicarakan di mahkamah melibatkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak.
"Melalui pengisytiharan harta, perkara seperti ini dapat menghalang mana-mana institusi yang memberikan wang kepada negara dan pada masa sama, kita harus membanterasnya dengan penggubalan akta dan sebagainya,"
kata beliau.
Encik Mohd Rashid bagaimanapun berkata bukan mudah untuk meminta mana-mana ahli Parlimen berbuat demikian walaupun kerajaan mempunyai kuasa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.