Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Masih awal untuk lihat kesan larangan seks luar nikah terhadap sektor pelancongan Indonesia

Anggaran Waktu Membaca:
Masih awal untuk lihat kesan larangan seks luar nikah terhadap sektor pelancongan Indonesia

Pantai Jimbaran di Bali, Indonesia pada 12 November 2022, (Gambar: AP Photo/Firdia Lisnawati)

JAKARTA: Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan Indonesia (ASITA) menyatakan pihaknya sudah menerima pertanyaan luar negara tentang kod jenayah yang akan berkuat kuasa dalam tempoh tiga tahun mendatang.

Kanun jenayah yang diluluskan Jakarta itu melibatkan amalan seks di luar perkahwinan dan perbuatan berkesedudukan.

Ini kerana ia bukan sahaja berkuat kuasa ke atas warga Indonesia tetapi juga para pelancong asing yang melawat ke negara itu.

Namun begitu, ASITA menyatakan masih terlalu awal untuk melihat kesan sebenar undang-undang baru tersebut terhadap sektor pelancongan Indonesia.

"Ada sedikit pembatalan tetapi kita belum tahu apakah itu terkait dengan undang-undang itu atau tidak. Jadi masih terlalu awal untuk menilai. Saya khuatir ini akan menjadi promosi atau kempen buruk terhadap Indonesia.

"Kalau kita tidak perhatikan dengan baik, ini boleh jadi kempen teruk yang kemudian boleh dimanfaatkan oleh pihak lain," kata wakil ketua umum ASITA, Budijanto Ardiansjah.

Pihak berkuasa di Bali iaitu destinasi utama para pelancong di Indonesia, juga segera mengeluarkan kenyataan untuk mengurangkan kebimbangan orang ramai.

PIHAK BERKUASA BALI BERI JAMINAN TIDAK PERLU BIMBANG

Ia menegaskan para pelancong akan dilindungi dan tiada pemeriksaan ke atas status perkahwinan di sebarang tempat penginapan di Bali.

Para konsul asing di Indonesia juga dihubungi untuk menyampaikan mesej serupa kepada warga asing.

Ketua Sektor Pelancongan Bali Tjokorda Bagus Pemayun berkata: "Kami sudah meminta untuk menjelaskan kepada warga mereka bahawa tidak perlu bimbang untuk mengunjungi Bali.

"Undang-undang ini memberi jaminan pertama sekali siapa yang boleh membuat aduan. Sebelum ini, sesiapa saja boleh membuat aduan tetapi sekarang tidak begitu."

Kementerian Undang-undang Indonesia menyatakan kod jenayah itu sebaliknya akan mengekang pihak berkuasa daripada melaksanakan pemeriksaan atau serbuan membanteras kegiatan seks.

Wakil Menteri Kementerian Undang-Undang dan Hak Asasi Indonesia Edward Omar Sharif Hiariej berkata: "Ada piawaian, peraturan dan pendekatan sama bagi memahami fasal ini. Kami juga memberi amaran untuk unit polis awam bahawa peraturan tempatan untuk tidak menjalankan serbuan dan sebagainya kerana ada peraturan dalam Kanun Jenayah itu yang mengtakrifkan fasal ini sebagai kesalahan berdasarkan aduan."

Data rasmi menunjukkan pertambahan stabil jumlah pelancong asing ke Bali mulai awal tahun ini dan pihak berkuasa menyasarkan lebih tujuh juta pelancong asing ke Bali pada tahun depan sebelum kod jenayah baru itu diumumkan.

Menurut Menteri Pelancongan Indonesia bagaimanapun menegaskan sasaran itu tetap dikekalkan.

TINDAKAN SEGERA PERLU DIAMBIL PIHAK BERKUASA

Namun dengan kod jenayah baru itu bakal mengancam sasaran tersebut, kakitangan pemerintah perlu memastikan semua kemungkinan ditangani terlebih dahulu.

Lantaran itu, sektor pelancongan Indonesia berpendapat pihak berkuasa sebaliknya harus cepat bertindak jika mahu mengekalkan pemulihan Indonesia pasca COVID-19 daripada persepsi negatif.

"Sektor pelancongan itu sangat memerlukan kenyamanan dan keamanan termasuk menjaga naratif-naratif yang positif.

"Jangan sampai terjadi naratif yang negatif sehingga menjejas kunjungan," tegas Setiausaha Agung Perhimpunan Hotel dan Restoran Indonesia Maulana Yusran.

Parlimen Indonesia sudahpun mengumumkan pembentukan satu pasukan bertindak untuk mendidik orang ramai tentang undang-undang baru itu.

Jurucakap Kitab Undang-Undang Hukum Pidana Masyarakat Indonesia Albert Aries berkongsi: "Kanun jenayah itu adalah cerminan paling taat kepada tamadun kami. Jadi apabila anda datang ke Indonesia, ada nilai-nilai yang perlu dihormati."

Timbalan Menteri Undang-undang dan Hak Asasi Indonesia berkata pihak berkuasa dalam keadaan sukar bagi mencapai keseimbangan kerana wilayah dengan majoriti Muslim seperti Sumatera Barat, mahukan perbuatan berkesedudukan diubah menjadi lebih daripada berdasarkan aduan saja.

Mereka berpendapat perbuatan berkesedudukan menjejas moral dan bercanggah dengan ajaran Islam.
Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan