Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'Masharati', amalan tradisi di Qatar tawar pekerjaan setiap tiba Ramadan

Suasana hening malam di kejiranan Dafna dekat sini tiba-tiba bertukar riuh dek paluan gendang.

Anggaran Waktu Membaca:
'Masharati', amalan tradisi di Qatar tawar pekerjaan setiap tiba Ramadan

Pemain ‘Masharati’ di kejiranan Dafna di bandar raya Doha, Qatar. (Gambar: QNA)

DOHA: Suasana hening malam di kejiranan Dafna dekat sini tiba-tiba bertukar riuh dek paluan gendang.

Kelihatan sekumpulan lelaki menyusuri lorong-lorong kediaman sambil memalu gendang dan rebana.

Mereka melantunkan lagu-lagu tradisional berselang seli dengan seruan mengajak orang ramai bangun bersahur.

Aktiviti itu berlanjutan sehinggalah ke minit akhir sebelum berkumandangnya azan Subuh.

Itulah ‘Masharati’, suatu pemandangan biasa pada dinihari sepanjang Ramadan di kebanyakan negara Timur Tengah, termasuklah di Qatar.

‘Masharati’ adalah amalan tradisi turun temurun yang asalnya dilakukan secara sukarela. Kini terdapat negara yang menjadikan amalan itu sebagai pekerjaan bermusim seiring perubahan urbanisasi dan sosial.

Atiq Al Sulaiti, penyelidik sejarah dan warisan Qatar ketika ditemui Agensi Berita Qatar (QNA) berkata pemain ‘Masharati’ adalah satu pekerjaan di beberapa kawasan di Qatar.

Menurutnya, walaupun masyarakat mungkin lebih memilih menggunakan tetapan jam penggera, namun tradisi ribuan tahun itu masih diteruskan dan dipelihara.

“Ia masih diperlukan. Pada Ramadan, orang yang tidur awal akan mudah terjaga. Tapi bagi yang tidur agak lewat, mereka pasti memerlukan seseorang untuk mengejutkan mereka bersahur sebelum azan subuh berkumandang. Di sinilah fungsi profesion bermusim ini. 

“Mereka (pemain ‘Masharati’) bukan setakat memalu gendang dan mengalunkan lagu atau zikir. Bahkan mereka akan memanggil nama tuan rumah dan mengetuk pintunya,” katanya.

Menurut QNA, sedar atau tidak amalan seakan ‘Masharati’ sebenarnya sudah bermula sejak zaman Nabi Muhammad (SAW) apabila umat Islam ketika itu menjadikan azan yang dilaungkan Ibn Umm Maktum sebagai tanda bermulanya puasa atau berhenti makan dan minum. Sementara laungan azan Bilal bin Rabah sebagai tanda berbuka puasa.

Apabila dakwah Islam semakin tersebar dan lingkungan negara Islam semakin meluas, cara penyampaian maklumat turut mengalami perubahan. Ahli sejarah merekodkan ‘Masharati’ mula wujud di Mesir pada tahun 238H.

Pada masa itu, Gabenor Mesir Utbah bin Ishaq menyedari orang ramai tidak mengendahkan amalan sunnah bersahur, dalam masa yang sama tiada usaha untuk mengejutkan mereka bangun bersahur.

Justeru beliau sendiri mengambil inisiatif menyusuri jalan-jalan Kota Kaherah pada waktu lewat malam. Beliau berjalan kaki dari bandar Askar ke masjid Amru bin Al As di Fustat sambil menyeru; “Ibadullah, tasahharu fa inna fis sahur barakah” (Wahai hamba Allah, bangunlah. Sesungguhnya pada bersahur itu terdapat keberkatan).

Pada zaman pemerintahan Fatimiyyah, perubahan dilihat agak ekstrim apabila pemain ‘Masharati’ bukan lagi dalam kalangan orang awam tetapi anggota tentera. Ia berlanjutan selama beberapa tahun sehinggalah akhirnya pemerintah memutuskan untuk melantik hanya seorang pemuda di kawasan tertentu untuk melakukan ‘Masharati’.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan