Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Masalah prasarana punca utama banjir dahsyat di Pakistan: Penganalisis

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Banjir dahsyat di Pakistan yang menjejas 33 juta penduduk, mencetuskan kebimbangan mengenai kesan perubahan iklim.

Ahli sejarah alam sekitar Dr Faizah Zakaria berkata banjir itu disebabkan kesan La Nina iaitu sistem iklim bertekanan rendah yang menyebabkan hujan monsun yang lebih lebat.

Tambahnya lagi, Pakistan juga merupakan salah satu negara yang mempunyai jumlah glasier yang banyak serta cuaca panas yang menyebabkan pencairan glasier-glasier tersebut. Ini mengakibatkan air mengalir ke sungai dengan lebih deras dan memburukkan lagi keadaan banjir.

MASALAH INFRASTRUKTUR

Namun, para penyelidik turut menganggap infrastruktur di Pakistan yang terjejas akibat aktiviti pertanian besar-besaran sebagai penyumbang utama yang memburukkan lagi keadaan.

Menurut mereka, negara-negara membangun seperti Pakistan akan terus dilanda bencana alam sedemikian tanpa huraian yang berkesan jika langkah segera tidak diambil berhubung cara pembinaan infrastruktur.

"Aktiviti pertanian sebagai sumber ekonomi, cara pengurusan, cara mereka melabur dalam infrastruktur mungkin tidak betul dan kerana itu, kita ada masalah dari segi air diuruskan dan pelbagai masalah yang berkait dengan alam sekitar," kata Zamil Penyelidik Institut Kajian Alam Sekitar Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Maszenan Abdul Majid.

Penolong Profesor dari Jabatan Sejarah Universiti Teknologi Nanyang (NTU) Dr Faizah Zakaria juga menekankan kepentingan infrastruktur dalam mengubah corak ekosistem di samping merosakkan keseimbangan semula jadi.

Dr Faizah merujuk kepada infrastruktur empangan di Pakistan yang dibina sejak zaman penjajah.

Pembinaan empangan, secara amnya, bertujuan untuk menangani penyaluran air pertanian dan mengubah corak aliran sungai.

Oleh itu, jika empangan sedemikian tidak diperbaharui atau diselenggarakan dengan berkesan, ia boleh menyebabkan kerosakkan.

KEKURANGAN KESUNGGUHAN POLITIK

Ahli sejarah alam sekitar itu juga berpendapat, hal ini boleh dikaitkan dengan kurangnya kesediaan pihak berkuasa Pakistan dalam menghadapi bencana.

Ini disebabkan masalah politik Pakistan yang terus berpanjangan yang menjejas keupayaannya untuk menangani situasi itu.

Misalnya, ia boleh dilihat dalam kurangnya usaha dan penelitian dalam melakarkan pelan jangka panjang yang kukuh untuk membangunkan negara itu agar dapat bertahan ketika berlakunya bencana.

"Bila kita fikirkan tentang kesungguhan politik untuk menangani masalah ini, kita juga harus memikirkan tentang cara perlaksanaan atau kesungguhan dalam memastikan larangan-larangan ataupun undang-undang pemerintah diikuti oleh semua lapisan masyarakat." ujarnya.

Dr Faizah menambah bahawa di Pakistan, antara sebab-sebab yang menyebabkan keadaan lebih teruk bagi mangsa-mangsa banjir sekarang adalah cara pemerintah menangani banjir besar yang melanda pada tahun 2010.

"Pemerintah Pakistan juga cuba melarang pembinaan di tebing-tebing sungai tetapi ianya tidak dikuatkuasakan jadi apabila terdapat pembinaan semula, ia menambahkan tekanan kepada ekosistem sungai itu dan apabila tibanya air naik dan hujan lebat, pembinaan begini tidak dapat bertahan," katanya lagi.

PERANAN MASYARAKAT ANTARABANGSA

Selain itu, masyarakat antarabangsa juga memainkan peranan penting dalam meringankan beban untuk membantu pemerintah Pakistan menangani punca utama masalah ini.

"Terdapat kurangnya sokongan antarabangsa untuk memberikan motivasi bagi pemerintah Pakistan untuk memperbaiki keadaan," kata Dr Faizah.

"Misalnya, selepas banjir yang melanda pada 2010, beberapa pertubuhan bukan pemerintah (NGO) tidak mahu lagi bekerjasama dengan pemerintah Pakistan kerana menganggap pemerintahnya agak lemah," tambahnya lagi.

Oleh itu, ini menghalang mangsa-mangsa di Pakistan daripada mendapatkan bantuan antarabangsa yang mencukupi.

"Ini diburukkan lagi dengan beban hutang daripada badan-badan seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang menarik dana daripada pembangunan Pakistan untuk membiayai hutang yang menjejas kesungguhan dan keupayaan pemerintah untuk membina infrastruktur dan melakarkan dasar-dasar yang lebih mesra alam," jelas Dr Faizah.

Lantaran itu, masalah ini juga perlu dianggap sebagai isu global demi meringankan beban bagi para penduduk Pakistan.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan