Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Masalah pada sayap mungkin faktor nahas pesawat di Elmina

Anggaran Waktu Membaca:
Masalah pada sayap mungkin faktor nahas pesawat di Elmina

Tapak nahas pesawat di Shah Alam. (Gambar: BERNAMA)

KUALA TERENGGANU: Antara faktor yang mungkin menyebabkan sebuah pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, di Shah Alam Selangor adalah berkaitan dengan masalah pada sayap pesawat itu.

Demikian menurut Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga seorang pakar dalam bidang aeroangkasa.

Menerusi catatan Facebooknya, bekas Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, masalah dialami pesawat itu mungkin disebabkan kegagalan sama ada aileron atau gabungan kedua-dua kemudi atau elevator, berdasarkan bahan-bahan visual yang diperolehi orang awam.

“Melihat kepada bahan-bahan visual sahaja (dalam bentuk rakaman kamera papan pemuka kenderaan yang juga mempunyai lain-lain kekangan), saya lebih cenderung untuk percaya isu yang jadi persoalannya ialah kawalan penerbangan - lebih kepada masalah pada sayap, kemungkinan kegagalan sama ada aileron atau gabungan kedua-dua kemudi dan elevator,” katanya. 

Bagaimanapun, beliau berkata kegagalan pesawat juga boleh berpunca daripada pelbagai masalah seperti isu penyenggaraan, kegagalan integriti struktur pesawat, kegagalan enjin, isu kawalan penerbangan, masalah avionik dan faktor manusia.

Beliau berkata lebih maklumat diperlukan dalam mencari faktor penyebab nahas itu termasuk siasatan di lokasi kejadian, pemeriksaan mikro dan makro ke atas bahagian atau serpihan pesawat dan analisis kotak hitam.

Dr Samsuri turut mewakili semua warga Terengganu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat  Beechcraft Model 390 (Premier 1).

Semalam (17 Ogos) 10 lelaki disahkan maut dalam nahas itu, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Pahang Hijau, Johari Harun.
Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan