Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Masalah otak didapati pada 1% pesakit COVID-19 di hospital

Berikut adalah ringkasan beberapa kajian terbaru tentang COVID-19. Ia termasuk penyelidikan yang memerlukan kajian lanjut untuk menyokong dapatannya dan yang masih belum disahkan oleh para penyelidik lain.

Anggaran Waktu Membaca:
Masalah otak didapati pada 1% pesakit COVID-19 di hospital

Gambar hiasan imbasan otak (Gambar: Pexels/cottonbro)

Diterbitkan : 02 Dec 2021 11:55AM Dikemas Kini : 02 Dec 2021 11:59AM

REUTERS: Berikut adalah ringkasan beberapa kajian terbaru tentang COVID-19. Ia termasuk penyelidikan yang memerlukan kajian lanjut untuk menyokong dapatannya dan yang masih belum disahkan oleh para penyelidik lain.

Masalah otak didapati dalam 1 peratus pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke hospital

Kira-kira satu daripada setiap 100 pesakit yang dimasukkan ke hospital disebabkan COVID-19 mungkin akan mengalami komplikasi sistem saraf tunjang, lapor penyelidik pada Selasa (30 Nov) semasa mesyuarat tahunan Persatuan Radiologi Amerika Utara. Dalam kalangan hampir 38,000 pesakit yang dimasukkan ke hospital dengan COVID-19 di Amerika Syarikat dan Eropah, gejala-gejalanya menyebabkan doktor mengesyaki berlaku komplikasi otak dalam kira-kira 11 peratus.

Pemeriksaan imbasan resonan magnetik (MRI) dan tomografi berkomputer (CT) mengesahkan keganjilan sistem saraf pusat yang berkemungkinan besar dikaitkan dengan virus itu, dalam 10 peratus daripada pesakit tersebut, menjadikan kejadian keseluruhan adalah 1.2 peratus.

Dapatan paling kerap adalah serangan angin ahmar akibat pembuluh darah tersumbat, namun para pengkaji juga melihat pendarahan pada bahagian otak, keradangan otak, dan komplikasi lain yang boleh membawa maut.

Ketua kajian Dr. Scott Faro dari Universiti Thomas Jefferson di Philadelphia berkata dalam satu kenyataan bahawa walaupun masalah paru-paru yang berkaitan dengan COVID-19 diketahui dengan meluas, "Kajian kami menunjukkan bahawa komplikasi sistem saraf pusat membentuk punca morbiditi dan kematian yang ketara dalam pandemik dahsyat ini."

Keberkesanan Moderna tidak terbatas kepada ujian klinikal

Vaksin mRNA COVID-19 Moderna terbukti berkesan di dunia nyata, menurut para doktor di Kaiser Permanente di California yang mengesan hampir 706,000 orang dewasa, separuh daripadanya yang sudah menerima vaksin itu.

Lima bulan selepas dos kedua, vaksin itu masih 87 peratus berkesan terhadap jangkitan SARS-CoV-2, 96 peratus berkesan memberi perlindungan daripada dimasukkan ke hospital disebabkan COVID-19 dan 98 peratus berkesan terhadap kematian akibat COVID-19, lapor para pengkaji dalam The Lancet Regional Health - Americas.

Meskipun mereka yang terlibat dalam kajian itu mempunyai pelbagai penyakit kronik, keberkesanan vaksin terhadap jangkitan adalah antara 83 peratus hingga 92 peratus merentas semua golongan usia, jantina, kaum dan etnik, kata para penyelidik.

Pakar imunologi E John Wherry dari University of Pennsylvania, yang tidak terlibat dalam kajian Kaiser, berkata "hampir mustahil" varian Omicron virus itu boleh mengelak sepenuhnya semua daya tahan imun yang dicetuskan oleh vaksin dan suntikan dos penggalak sedia ada berkemungkinan "menawarkan tahap perlindungan yang lebih tinggi terhadap varian ini".

COVID-19 semasa bersalin dikait dengan risiko tinggi; ubat antibodi tampak selamat

Wanita hamil yang menghidap COVID-19 berdepan risiko lebih tinggi mengalami komplikasi bersalin berbanding mereka yang tidak dijangkiti koronavirus, menurut dapatan satu kajian baru.

Kajian berasingan mencadangkan wanita hamil yang mengalami gejala ringan atau sederhana COVID-19 boleh dirawat dengan selamat menggunakan ubat antibodi monoklonal seperti ubat dari Regeneron Pharmaceuticals.

Analisis komplikasi bersalin melibatkan 244,645 kelahiran, 874 daripadanya adalah oleh wanita yang dijangkiti. Penyelidik melaporkan pada Selasa dalam PLOS Medicine bahawa kadar keguguran dan kematian bayi sewaktu lahir tidak berbeza antara kedua-dua kumpulan tersebut.

Bagaimanapun selepas mengambil kira faktor risiko wanita, para penyelidik mendapati bahawa mereka yang dijangkiti COVID-19 berdepan kemungkinan 80 peratus lebih tinggi untuk mengalami masalah terlalu banyak air ketuban, menggandakan kemungkinan tekanan darah tinggi yang berbahaya, lebih seganda kemungkinan jangkitan amniotik, kemungkinan berlaku hampir tiga kali ganda pendarahan semasa bersalin dan kemungkinan pendarahan hampir seganda selepas itu.

Mereka juga berisiko tinggi untuk bersalin pramatang. "Wanita hamil dan mereka yang merancang untuk hamil... amat digalakkan untuk mendapatkan vaksin," kata ketua kajian Dr Sylvie Epelboin dari University of Paris.

Sementara itu, doktor di Mayo Clinic di Rochester, Minnesota merawat 51 pesakit hamil yang dijangkiti COVID-19 bergejala ringan hingga sederhana menerusi salah satu daripada beberapa rawatan antibodi monoklonal. "Tiada kesan buruk dilaporkan dan tiada pesakit perlu dimasukkan ke hospital berkaitan COVID-19," mereka melaporkan pada Ahad (28 Nov) di medRxiv sebelum semakan oleh pengkaji lain.

Setakat ini, 29 daripada wanita itu sudah melahirkan bayi yang sihat. Terdapat satu keguguran disebabkan kecacatan kongenital yang tiada kaitan dengan ubat. Para pengkaji menarik perhatian bahawa walaupun rawatan menerusi penyeduhan (infusion) itu diterima dengan baik, kajian itu hanya berskala kecil. Kajian lanjut disyorkan untuk menilai sepenuhnya keselamatan dan keberkesanan dalam kehamilan, kata mereka. 

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan