Masalah najis semakin 'menggunung' di Everest
Para pendaki yang bersungguh-sungguh ingin menjejakkan kaki di puncak gunung tertinggi di dunia mungkin jarang memikirkan tentang perkara seperti membuang air besar semasa ekspedisi mereka di Gunung Everest.
Gunung Everest. (Gambar: AFP)
NEPAL: Para pendaki yang bersungguh-sungguh ingin menjejakkan kaki di puncak gunung tertinggi di dunia mungkin jarang memikirkan tentang perkara seperti membuang air besar semasa ekspedisi mereka di Gunung Everest.
Pada musim ini, para porter yang bekerja di Gunung Everest terpaksa mengangkat najis seberat 28,000 paun (12,700 kilogram) - iaitu seberat dua gajah dewasa - dari kem induk ke sebuah tapak pembuangan najis yang terletak berhampiran. Ini menurut Jawatankuasa Kawalan Pencemaran Sagarmatha (SPCC), sebuah pertubuhan bukan pemerintah (NGO) tempatan yang ditugaskan untuk membersihkan Everest.
Di Gorak Shep, dasar tasik beku setinggi 17,000 kaki dari permukaan laut, najis dibuang di kawasan-kawasan terbuka di mana ia kemudian menjadi kering. Seorang jurutera dan pendaki gunung dari Washington State yang sudah bersara, Garry Porter, menerangkan bahawa terdapat risiko bahawa najis mungkin mengalir ke sungai dan mencemari sistem bekalan air.
"Ia sesuatu yang kotor dan menyakitkan mata. Malah, ia juga adalah isu kesihatan dan sekitaran," kata Encik Porter kepada CNN.
"Saya berasa amat seronok mendaki Everest dan teruja dengan gunung tertinggi ini, namun saya juga pernah melihat apa yang berlaku apabila kita, yang dari negara-negara Barat, meninggalkan Everest dan menganggap bahawa najis kita tidak akan meninggalkan bau," tambah beliau.
(Gambar fail: Phurba Tenjing Sherpa/Reuters)
Encik Porter, bagaimanapun, tidak menyalahkan para pendaki kerana menurut beliau, tujuan dan keutamaan mereka adalah untuk mendaki sehingga puncak gunung dan kembali dengan selamat.
Beliau turut berkata, pihak berkuasa Nepal juga tidak boleh dipersalahkan kerana tiada sebarang loji rawatan sisa di kawasan tersebut.
Yangji Doma dari SPCC juga bersetuju bahawa sistem pengurusan najis merupakan satu masalah.
CNN menukil beliau sebagai berkata: "Kami memastikan agar najis tidak dibuang di glasier gunung tetapi masalah utama adalah... ia sangat sejuk dan najis itu tidak reput dengan mudah, dan kami memahaminya. Ia diuruskan tapi ia tidak diuruskan secara mampan."
Oleh itu, Encik Porter dan salah seorang pendaki, Dan Mazur, menubuhkan Projek Biogas Gunung Everest hampir lapan tahun lalu bagi menghapuskan "bahaya sekitaran" itu.
Sejak beberapa tahun lalu, mereka meneroka idea untuk memasang pencerna biogas di Gorak Shep untuk mengubah najis manusia menjadi gas metana.
Bagaimanapun, Encik Porter berkata para pendaki kerap menggunakan ubat antibiotik dan kerana itu, beliau prihatin ubat-ubatan tersebut mungkin menjejas keupayaan mikrob untuk menguraikan najis.
Projek Biogas Gunung Everest sudahpun memeterai perjanjian dengan SPCC dan pihaknya juga sudah bersedia untuk melancarkan usaha itu selepas ia mendapatkan jumlah dana yang diperlukan.
Cik Doma berharap projek itu akan membuahkan hasil. CNN menukil beliau sebagai berkata: "Huraian ini sangat inovatif bagi menangani masalah najis manusia dalam jangka panjang kerana apa yang kami lalukan buat masa ini bukan sesuatu yang berkesan. Ia bukanlah sesuatu yang mampan."
Bagi Encik Porter, usaha ini bermatlamat menyumbang semula kepada rakyat Nepal. "Saya adalah antara mereka yang menyumbang kepada masalah ini, jadi sekarang saya berharap saya boleh menjadi sebahagian daripada huraiannya," tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.