Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Masalah kesihatan mental bertambah teruk gara-gara media sosial?

Anggaran Waktu Membaca:
Masalah kesihatan mental bertambah teruk gara-gara media sosial?

Gambar fail aplikasi-aplikasi media sosial yang biasa digunakan orang ramai. (Gambar: Kirill Kudryavtsev/AFP)

KUALA LUMPUR: Jenny, seorang wartawan yang enggan dikenali dengan nama sebenar atas faktor keselamatan, bukanlah pengguna tegar media sosial, namun, apabila sebuah laporan yang dihasilkan oleh pasukannya pada 2020, iaitu ketika kemuncak penularan COVID-19, dikecam hebat oleh warga maya, dia memadam semua akaun media sosialnya demi kesihatan mentalnya.

"Gangguan yang kami terima agak hebat. Ramai warga maya yang mengecam kami menerusi media sosial."

"Ada juga ugutan bunuh. Mereka selidik siapa kami dan menampilkan alamat pejabat kami di Facebook serta mengancam untuk membakar pejabat dan datang membunuh kami," katanya.

Dia tidak berasa selamat langsung, kongsinya kepada Bernama.

Mujur ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 yang secara langsung melindunginya. Ironinya, sekatan pergerakan itu juga mungkin penyumbang kepada kecaman melampau tersebut.

Oleh kerana sepanjang tempoh itu dia tidak perlu hadir di pejabat, Jenny tidak pernah bersua dengan golongan terbabit yang juga tertakluk kepada PKP dan 'berkurung' di rumah.

Akan tetapi, lain pula kisah kesihatan mentalnya yang mendorong wanita itu menyepikan diri daripada dunia media sosial.

Dia mengambil masa dua tahun untuk kembali ke wahana berkenaan. Walaupun masih berasa takut, Jenny berbuat demikian demi keperluan tugas.

Kisah Jenny ini adalah realiti sebenar kita sekarang. Tidak boleh tidak, kita perlukan media sosial sekalipun medium ini mewujudkan suasana tidak selamat bagi sesetengah penggunanya serta mampu menjejas kesihatan mental seseorang.

STATISTIK

Beberapa kajian yang dijalankan sebelum ini mengaitkan penggunaan media sosial dengan perasaan cemas dan depresi atau kemurungan.

Sekalipun Malaysia tidak mempunyai angka tepat berhubung masalah kesihatan mental dan kaitan isu itu dengan penggunaan media sosial - data terkini hasil kajian Kementerian Kesihatan Malaysia ialah pada 2015 - pakar percaya jumlah penghidap masalah kesihatan mental meningkat seiring penggunaan media sosial.

Ketika kemuncak penularan pandemik, penggunaan media sosial mencanak disebabkan anggota masyarakat tidak dibenarkan keluar rumah sebagai langkah membendung jangkitan.

Pada 2022, We Are Social and Hootsuite, sebuah firma pemasaran yang memantau trend digital, mendapati Malaysia adalah negara keenam di dunia yang merekodkan penggunaan Internet tertinggi, iaitu selama sembilan jam empat minit.

Kemudahan itu paling banyak digunakan untuk bertukar-tukar pesanan, diikut rapat penggunaan media sosial.
Kepios yang menganalisis data media sosial dan penggunaan Internet, menyatakan hampir 27 juta orang atau 78.5 peratus penduduk di Malaysia menggunakan media sosial setakat Januari 2023. Menurut firma itu, angka berkenaan sedang meningkat.

Meskipun PKP sudah ditarik balik, masa yang dihabiskan untuk media sosial kekal tinggi, dedah Meltwater, sebuah firma pemasaran digital. Pengguna di Malaysia meluangkan masa selama dua jam 47 minit sehari setakat Januari 2023, iaitu hanya kurang 15 minit berbanding 2022.

Menteri Kesihatan Malaysia Dr Zaliha Mustafa memberitahu persidangan Parlimen bahawa baru-baru ini kementeriannya melakukan saringan terhadap 336,900 orang bagi mengesan kemurungan atau kebimbangan dalam kalangan mereka dan mendapati Kuala Lumpur merekodkan jumlah tertinggi individu yang mengalami tekanan psikologi.

Kata Dr Zaliha, kebanyakannya adalah daripada kumpulan berpendapatan rendah B40 dan miskin bandar.

"Masalah kewangan dan perhubungan adalah antara penyebab masalah kesihatan mental," tambah beliau.

KESAN MEDIA SOSIAL

Media sosial memberikan kesan negatif ke atas kesihatan mental masyarakat dalam pelbagai cara. Jika dalam kes Jenny, wanita itu berasa cemas dan ketakutan selepas menerima ugutan bunuh, yang lain pula mengalami masalah kesihatan mental disebabkan oleh cara media sosial beroperasi.

Pakar yang dihubungi Bernama berkata media sosial berkecenderungan meningkatkan lagi rasa tidak puas hati atau kecewa anggota masyarakat terhadap kehidupan, kedudukan kewangan atau perhubungan mereka dan ini menyumbang kepada perasaan yang diri mereka tidak berguna dan diselubungi kebimbangan.

Bersetuju dengan pandangan itu, pakar psikologi Prof Madya Dr Rozaina Kamsani daripada Universiti Utara Malaysia berkata perasaan iri hati dan cemburu membuatkan ramai yang rentan dari segi mental, selain mudah menjadi sasaran penipuan.

Sesetengahnya pula mungkin bertindak menyerang balas warga maya yang mengecam, bukannya bermuhasabah diri.

Gangguan yang berpanjangan menyebabkan keresahan dan kemurungan dalam kalangan mangsanya serta rasa rendah diri dan hilang keyakinan diri, kata Rozaina.

Secara paradoks, terlalu banyak menggunakan media sosial meningkatkan perasaan terputus hubungan dan keterasingan. Menurut pakar, kekurangan isyarat bukan lisan menyumbang kepada masalah kesihatan mental dan perasaan surealisme, iaitu tidak pasti sama ada pihak yang berinteraksi dalam talian itu benar-benar wujud atau sebaliknya.

Keadaan ini mengganggu fikiran seseorang dalam banyak cara.


Sementara itu, Kow Kwan Yee, pensyarah di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, University of Wollongong-KDU (UOW-KDU) di Shah Alam, Selangor, berkata manusia merupakan makhluk sosial dan apabila mereka tidak menerima komunikasi bukan lisan, keadaan tersebut akan mencetuskan perasaan sunyi dan masalah lain.

TIDAK JEJAS KANAK-KANAK

Media sosial tidak mungkin dimakan zaman kerana wahana terbabit dimanfaatkan sepenuhnya oleh generasi muda sekarang.

Pelbagai kajian membabitkan remaja dan belia tentang bagaimana media sosial memberi kesan kepada mereka menghasilkan keputusan bercampur-campur dengan sebahagian menunjukkan impak negatif yang minimum, sementara yang lain pula mempamerkan kesan yang signifikan.

Golongan belia yang ditemui Bernama berkata mereka menganggap diri mereka sudah terbiasa terhadap kesan buruk media sosial.

Pakar memberi amaran tentang penggunaan keterlaluan media sosial dan menyarankan agar pengguna "berehat" sekali sekala daripada aktiviti itu dan bergaul dengan rakan serta keluarga, atau terlibat dalam kegiatan fizikal ataupun mencari hobi.

Orang ramai kata mereka perlu memperuntukkan masa untuk kesejahteraan mental dan menjauhkan diri daripada aspek negatif.

Sumber : Bernama/AE/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan