Skip to main content

Dunia

Masalah gelandangan di England kian teruk hingga jejas 210,000 kanak-kanak

Kanak-kanak di England dilaporkan tidur dalam kontena kapal yang diubah suai dan rumah yang bilik-biliknya disewakan, iaitu satu persekitaran cukup berbahaya bahkan juga terletak jauh dari sekolah mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Masalah gelandangan di England kian teruk hingga jejas 210,000 kanak-kanak

Tempat berteduh seorang gelandangan di High Street, bertentangan Windsor Castle di Windsor, barat London. (Gambar hiasan: DANIEL SORABJI / AFP)

Diterbitkan : 21 Aug 2019 05:42PM Dikemas Kini : 21 Aug 2019 05:44PM

LONDON: Kanak-kanak di England dilaporkan tidur dalam kontena kapal yang diubah suai dan rumah yang bilik-biliknya disewakan, iaitu satu persekitaran cukup berbahaya bahkan juga terletak jauh dari sekolah mereka.

Menurut laporan Suruhanjaya Kanak-Kanak England pada Rabu (21 Ogos), masalah gelandangan semakin meningkat di England sejak hampir sedekad lalu ekoran kenaikan kadar sewa rumah, pembekuan manfaat kebajikan dan projek perumahan kos rendah yang terhad.

Malah, laporan itu menganggarkan jumlah kanak-kanak gelandangan mungkin mencecah 210,000, termasuk 120,000 tanpa tempat berteduh manakala 90,000 lagi hidup berpindah randah.

“Ia boleh disifatkan sebagai satu skandal apabila sebuah negara yang makmur seperti negara kita sanggup membiarkan ratusan ribu keluarga tinggal di kediaman sementara bagi satu jangka masa yang lama.

“Ada sesuatu yang sangat tidak kena dengan sistem perumahan kita,” kata wakil Suruhanjaya Kanak-Kanak England, Anne Longfield, dalam satu kenyataan.

Laporan tersebut juga memberi amaran tentang keadaan hidup tidak menentu bagi kanak-kanak seperti bilik air yang dikongsi di hostel yang berpotensi mewujudkan suatu sekitaran tidak selamat lagi menakutkan.

Sebagai respons kepada laporan berkenaan, seorang jurucakap pemerintah memberitahu Yayasan Thomas Reuters bahawa "tiada seorang pun kanak-kanak yang patut hidup tanpa tempat teduh".

“Kami sedang berusaha untuk memastikan semua keluarga mempunyai tempat yang selamat untuk tinggal.

“Kami melabur sebanyak £1.2 bilion (S$2 bilion) untuk menangani semua jenis masalah ketiadaan tempat tinggal dan kami bekerjasama rapat dengan majlis tempatan seluruh negara untuk mengurangkan jumlah keluarga yang tinggal di kediaman sementara,” ujarnya.

Pada masa yang sama, laporan itu turut mengingatkan bahawa keluarga yang gagal membayar sewa atau gadai janji boleh mengakibatkan sejumlah 375,000 lagi kanak-kanak di England berisiko kehilangan tempat tinggal dalam tempoh beberapa tahun akan datang. 

Sumber : Reuters/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita