Skip to main content

Dunia

Masa depan tidak menentu bagi satu-satunya kawasan kejiranan bebas rokok Indonesia

Cik Ayu Rohana sedang mengawas empat pekerja binaan yang melakukan kerja-kerja pembaikan di laluan pejalan kaki kawasan kejiranannya. Laluan tersebut tiba-tiba roboh beberapa hari lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Masa depan tidak menentu bagi satu-satunya kawasan kejiranan bebas rokok Indonesia

Satu lorong di Penas Tanggul. (Gambar: Nivell Rayda)

Diterbitkan : 03 Aug 2019 10:12AM Dikemas Kini : 03 Aug 2019 10:21AM

JAKARTA: Cik Ayu Rohana sedang mengawas empat pekerja binaan yang melakukan kerja-kerja pembaikan di laluan pejalan kaki kawasan kejiranannya. Laluan tersebut tiba-tiba roboh beberapa hari lalu.

Dua daripada pekerja itu telah menyalakan rokok. Wanita berusia 32 tahun itu yang juga seorang ibu kepada tiga anak, mahu memastikan mereka tidak melanggar larangan merokok di kawasan kejiranan tersebut.

Pada Mac 2017, Penas Tanggul, sebuah kawasan yang sesak di Jakarta Timur, menjadi kawasan bebas tembakau di ibu kota tersebut. Satu kejayaan besar bagi sebuah negara yang harga sekotak rokoknya lima kali lebih rendah berbanding di Singapura. Pengiklanan tembakau juga masih dibenarkan di negara itu.

Namun, masa depan kawasan kejiranan itu penuh dengan ketidakpastian, memandangkan Penas Tunggul sebenarnya sebuah penempatan haram.

Related article image

Peringatan tentang peraturan bebas tembakau jelas kelihatan di sekitar kawasan itu - dari pintu pagar di tepi sungai itu, hingga pelekat-pelekat yang ditampal di rumah para penduduk serta lukisan dinding berwarna-warni di tandas dan tembok-tembok penahan.

"Kami mendapati ramai wanita dan kanak-kanak mengalami masalah pernafasaan kerana semua kaum lelaki di sini merokok," kata Cik Rohaya kepada Mediacorp tentang keputusan kawasan kejiranannya untuk menjadi bebas tembakau.

Sebelum ini, mereka merokok dalam rumah dan di lorong-lorong sempit yang dilalui wanita-wanita hamil serta kanak-kanak.

"Kini selepas kami semua mengikrarkan komitmen, semua orang mengawasi satu sama lain dan memastikan ikrar itu dipenuhi," jelasnya sambil menambah, mereka yang melanggar peraturan itu akan dikenakan denda kecil yang sama harganya dengan sekotak rokok.

Related article image

AWALNYA UNDANG TENTANGAN

Meyakinkan orang ramai agar tidak merokok di kawasan kejiranan yang diduduki sekitar 120 keluarga itu tidak mudah, kata seorang lagi penduduk, Encik Joko Sundoko.

"Terdapat banyak tentangan, terutama sekali mereka yang kuat merokok. Tetapi kami akhirnya berjaya meyakinkan mereka agar sekurang-kurangnya berhenti merokok dalam rumah yang didiami isteri dan anak-anak mereka."

"Perlahan-lahan, kami bersetuju bahawa perokok boleh merokok di satu zon yang kami khususkan hanya di luar kawasan kejiranan," katanya.

Encik Sundoko berkata, lama-kelamaan ramai orang di Penas Tanggul berhenti merokok, termasuk dirinya. "Saya mula merokok ketika saya berusia 12 tahun, kerana orang-orang di sekeliling saya merokok. Saya rasa manfaat utama inisiatif ini adalah melihat kanak-kanak dan para remaja tidak mengamalkan tabiat merokok," tambah beliau.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kadar perokok lelaki adalah tertinggi di Indonesia, iaitu 75 peratus. Jumlah kanak-kanak yang merokok juga kian meningkat (dari 7.2 peratus bagi mereka yang berusia bawah 18 tahun pada 2013 kepada 9.1 peratus pada tahun ini).

Related article image

STATUS PENEMPATAN HARAM

Pemerintah sudah bertahun-tahun cuba untuk mengusir para penduduk Penas Tanggul yang membina rumah secara haram di tepi-tepi Sungai Cipinang yang mudah banjir bagi memberi laluan untuk satu projek memperbaiki sungai.

Namun, rancangan itu tergendala selepas para penduduk berjaya menjadikan kawasan itu sebagai sebuah kawasan yang diiktiraf, merubahnya dari tempat yang kotor kepada kawasan kediaman yang dipenuhi dengan rumah dan tembok-tembok berwarna-warni.

Tubagus Haryo Karbiyanto, seorang anggota pertubuhan bukan pemerintah (NGO) yang menerajui perubahan itu berkata, para penduduk mendapat inspirasi daripada "kampung berwarna-warni" pertama Indonesia, Kali Code, dan "kampung bebas tembakau" pertama Indonesia, Umbul Harjo. Kedua-dua kampung itu terletak di Yogyakarta.

Penas Tanggul kawasan kejiranan Indonesia yang menggabungkan dua konsep tersebut, kata Encik Karbiyanto kepada Mediacorp.

Perubahan yang dijalankan bukan sekadar bagi reka bentuk rumah. Malah, para penduduk mengambil inisiatif untuk menjaga persekitaran mereka.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita