Skip to main content

Dunia

Masa depan S'pura-M'sia perlu hubungan membina berterusan: Vivian Balakrishnan

Singapura dan Malaysia adalah dua negara berjiran yang mana masa depannya bergantung kepada keupayaan untuk membina hubungan dua hala yang konstruktif, menurut Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan pada Jumaat (30 Ogos). 

Anggaran Waktu Membaca:
Masa depan S'pura-M'sia perlu hubungan membina berterusan: Vivian Balakrishnan

(Gambar: MFA)

Diterbitkan : 30 Aug 2019 11:19PM Dikemas Kini : 30 Aug 2019 11:28PM

GEORGE TOWN, PULAU PINANG: Singapura dan Malaysia adalah dua negara berjiran yang mana masa depannya bergantung kepada keupayaan untuk membina hubungan dua hala yang konstruktif, menurut Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan pada Jumaat (30 Ogos).

Dr Balakrishnan, berkata demikian kepada wartawan sebagai menggulung lawatannya ke Kedah dan Pulau Pinang. Beliau mengulas hubungan kedua-dua negara, sehari sebelum sambutan hari kemerdekaan Malaysia.

Menurutnya Hari Merdeka adalah satu peluang bagi kedua-dua negara untuk mengimbas kembali sejarah rapat yang dikongsi bersama dan merancang masa depan berasaskan dialog yang santai dan membina.

"Kami akan sentiasa mempunyai perbezaan dari masa ke masa, kadang kala melibatkan isu-isu yang rumit. Bagaimanapun masa depan dan nasib kedua-dua negara berdaulat ini banyak bergantung kepada apa yang kami kongsi bersama dan keupayaan kami untuk mempunyai hubungan yang membina, berdasarkan rasa hormat dan saling mempercayai," tambah Dr Balakrishnan.

Lawatan beliau ke wilayah utara Malaysia adalah sebahagian daripada langkah permulaan yang diambil oleh para pemimpin Singapura untuk memperkukuhkan hubungan antara rakan sejawatan meraka di peringkat negara, dan menjangkaui peringkat persekutuan.

Dr Balakrishan menekankan bahawa lawatannya itu adalah "yang pertama daripada banyak lagi pada masa depan". Beliau merancang untuk melawat negeri-negeri lain di semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, serta Johor.

MALAYSIA "BERUNTUNG MEMPUNYAI PEMIMPIN" DARI BERBILANG MASYARAKAT

Semasa lawatannya itu, Dr Balakrishnan bertemu beberapa ahli politik dari Kedah dan Pulau Pinang. Beliau menekankan bahawa Malaysia "beruntung mempunyai ramai pemimpin" daripada pelbagai masyarakat yang memiliki perspektif berlainan.

Beliau memuji para pemimpin politik muda yang ditemuinya, termasuk Ketua Menteri Kedah Mukhriz Mahathir dan penggubal undang-undang Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar.

Dr Balakrishnan menarik perhatian bahawa Encik Mukhriz adalah seseorang "yang tidak sabar untuk mempertingkatkan mutu kehidupan di Kedah", manakala Cik Nurul Izzah pula seorang pemimpin "berwibawa" dan "dinamik" yang benar-benar ingin melaksanakan pembaharuan dalam kawasan undinya. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita