Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Masa depan Australia, ASEAN saling berkait, kata Menteri Luar Penny Wong

Anggaran Waktu Membaca:
Masa depan Australia, ASEAN saling berkait, kata Menteri Luar Penny Wong

Menteri Luar Australia Penny Wong (kiri) dan Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah (kanan) di Putrajaya semasa lawatan rasmi Cik Wong pada 28 Jun 2022. (Gambar: Handout/Malaysia Ministry of Foreign Affairs/AFP)

PUTRAJAYA: Asia Tenggara akan kekal menjadi wilayah penting bagi Australia, kata menteri luar negara itu, Penny Wong, yang turut menekankan komitmen pemerintah baru negaranya terhadap Pemusatan ASEAN.

Cik Wong, yang kini dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, berkata pada Selasa (28 Jun) bahawa masa depan Australia saling berkait rapat dengan masa depan ASEAN serta Asia Tenggara.

"Kita berkongsi masa depan yang sama kerana berada di rantau yang sama dan itulah cara kita membina hubungan dan berdepan cabaran yang dihadapi," katanya.

“Pemerintah Australia kekal komited kepada Pemusatan ASEAN dan kami melihat ASEAN sebagai rantau yang stabil, aman serta makmur di mana kedaulatan dihormati,” katanya semasa sidang media bersama Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah selepas mesyuarat dua hala di Putrajaya pada Selasa (28 Jun).

Beliau berkata Australia juga bertuah dan berbesar hati menjadi Rakan Strategik Menyeluruh ASEAN.

Cik Wong menambah ketika lawatannya ke Jakarta bersama Perdana Menteri Anthony Albanese awal bulan ini, beliau berpeluang bertemu dengan setiausaha agung ASEAN dan wakil tetap yang lain untuk berbincang mengenai perkongsian yang lebih utuh.

Australia dan ASEAN mewujudkan Perkongsian Strategik Menyeluruh pada Oktober 2021.

Mengenai pakatan kerjasama keselamatan baru tiga negara - Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat - yang lebih dikenali dengan singkatan AUKUS, Menteri Luar itu berkata menerusi perjanjian tersebut, pemerintah Australia berhasrat untuk menggantikan kapal selam berkuasa diesel sedia ada kepada kapal selam berkuasa nuklear.

"Kami bercakap mengenai kapal selam yang menggunakan tenaga nuklear untuk kuasa tujahan dan bukan senjata nuklear," katanya bagi membetulkan tanggapan salah berhubung kapal selam dan pakatan itu.

Mengulas lanjut, Cik Wong berkata pemerintah barunya juga meluangkan masa untuk mendengar dan menjelaskan kepada pelbagai pihak berhubung kebimbangan mengenai perkara itu.

AUKUS yang diumumkan pada September tahun lalu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan negara-negara serantau kerana dikhuatiri boleh meningkatkan lagi ketegangan di rantau itu.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan