Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

MAS: Tiada pelepasan caj bagi rombongan Najib bercuti

Malaysia Airlines (MAS) menjelaskan bahawa ia tidak memberi sebarang pelepasan caj bagi bagasi rombongan mantan Perdana Menteri Najib Razak ke Langkawi.

Anggaran Waktu Membaca:
MAS: Tiada pelepasan caj bagi rombongan Najib bercuti

Gambar fail Malaysia Airlines. (Gambar: Greg Wood/ AFP)

Diterbitkan : 22 Jun 2018 07:55AM Dikemas Kini : 22 Jun 2018 08:00AM

PETALING JAYA: Malaysia Airlines (MAS) menjelaskan bahawa ia tidak memberi sebarang pelepasan caj bagi bagasi rombongan mantan Perdana Menteri Najib Razak ke Langkawi.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam (21 Jun), syarikat penerbangan terbabit menjelaskan, apabila penumpang mendaftar masuk secara berkumpulan, semua bagasi boleh disatukan dan ditanda di bawah satu nama.

Keadaan itu, menurut MAS mungkin "kelihatan sebagai bagasi berlebihan dalam sistem".

"Dalam kes tersebut, jumlah bagasi yang didaftar masuk oleh kumpulan penumpang berkenaan masih dalam kadar yang dibenarkan.

"Malaysia Airlines sentiasa mematuhi dengan ketat dasar berkaitan dengan bagasi berlebihan dan boleh mengesahkan bahawa tiada pengecualian dilaksanakan," menurut MAS seperti ditukil Malaysiakini.

MAS juga menyatakan pihaknya sedang menyiasat sumber yang mendedahkan butiran penerbangan Encik Najib sehingga menjadi tular.

Terdahulu rombongan Encik Najib didakwa mendapat pelepasan caj bernilai lebih RM17,000 (S$5,750) walaupun berat bagasi mereka melebihi setengah tan.

Menurut Malaysiakini, percutian di pulau peranginan tersebut turut disertai enam orang lain termasuk isteri Encik Najib, Rosmah Mansor, anak, menantu dan cucu mereka.

Dalam pada itu, Malaysiakini turut difahamkan Encik Najib dan keluarganya terbang sebagai penumpang kelas bisnes.

Sumber yang enggan dikenali juga memberitahu agensi berita bahawa dua daripada mereka merupakan anggota kelas platinum syarikat penerbangan berkenaan.

Keluarga Najib juga disertai 17 penumpang lain yang menaiki pesawat udara berkenaan di tempat duduk kelas ekonomi.

Berdasarkan maklumat pada laman sesawang MAS, anggota platinum dikecualikan bayaran bagasi 100 peratus, manakala penumpang kelas bisnes mendapat kelebihan sehingga bagasi 80 kilogram. Penumpang kelas ekonomi pula tidak dikenakan bayaran untuk bagasi dengan berat sehingga 30kg.

Mengikut kemudahan semasa yang diberikan MAS, rombongan Najib - yang turut melibatkan dua anggota platinum - boleh membawa masuk sehingga 840 kilogram bagasi tanpa dikenakan caj tambahan. 

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan