Skip to main content

Dunia

Mark Carney sudah bersedia berdepan dengan Trump selepas dilantik jadi PM Kanada

Encik Mark Carney secara rasmi mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Kanada pada Jumaat (14 Mac), meletakkannya dalam kedudukan untuk melawan tarif Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang boleh menjejas ekonomi Kanada yang bergantung kepada perdagangan.

Anggaran Waktu Membaca:
 Mark Carney sudah bersedia berdepan dengan Trump selepas dilantik jadi PM Kanada

Mark Carney berucap sewaktu perhimpunan anggota Parti Liberal Kanada untuk memilih pengganti Perdana Menteri Justin Trudeau pada 9 Mac 2025. (Gambar: Reuters/Carlos Osorio)

Diterbitkan : 15 Mar 2025 07:09AM Dikemas Kini : 15 Mar 2025 07:12AM
OTTAWA: Encik Mark Carney secara rasmi mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Kanada pada Jumaat (14 Mac), meletakkannya dalam kedudukan untuk melawan tarif Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang boleh menjejas ekonomi Kanada yang bergantung kepada perdagangan.

Di hadapan Gabenor Jeneral Mary Simon, wakil peribadi Raja Charles, yang merupakan ketua negara Kanada, Encik Carney mengangkat sumpah jawatan dalam majlis yang dijadual bermula pada pukul 11.00 pagi waktu tempatan.

Detik itu merupakan satu pencapaian yang besar bagi Encik Carney, 59 tahun, yang menjadi perdana menteri Kanada pertama tanpa pengalaman politik yang luas.

Encik Carney menumpaskan pesaingnya pada Ahad dalam perebutan untuk menjadi pemimpin Parti Liberal yang memerintah Kanada. Beliau menggantikan Justin Trudeau, yang menyandang jawatan tersebut selama lebih sembilan tahun.

Encik Carney, mantan ketua Bank of Canada dan Bank of England, berjaya menyandang jawatan tersebut sebagai orang luar yang mempunyai sejarah menangani krisis, yang bermakna beliau juga adalah orang yang terbaik untuk menentang Encik Trump, yang telah berulang kali bercakap tentang mengambil alih Kanada sebagai sebahagian daripada wilayah Amerika.

Pada Rabu lalu, Encik Carney memberitahu para wartawan bahawa beliau bersedia untuk bertemu Encik Trump apabila "terdapat rasa hormat terhadap kedaulatan Kanada."

Encik Carney juga berkata bahawa beliau akan mengekalkan tarif tindak balas terhadap barangan Amerika sehingga negara itu menunjukkan sikap hormat kepada Kanada.

Encik Carney akan membentuk kabinet yang mungkin tidak akan lama memegang jawatan, memandangkan orang dalam Parti Liberal berkata beliau akan mengadakan pilihan raya kilat dalam masa beberapa hari akan datang. Jika beliau berubah fikiran, parti-parti pembangkang berkata mereka akan bersatu untuk menjatuhkan pemerintah Parti Liberal melalui undi tidak yakin pada akhir Mac.

Sebaik sahaja pilihan raya diadakan, Encik Carney akan menjadi sangat terhad dari segi apa yang boleh beliau lakukan secara politik kerana Perlembagaan Kanada menetapkan bahawa beliau tidak boleh membuat keputusan besar semasa bertanding bagi jawatan perdana menteri.

Tinjauan pendapat pada masa ini membayangkan ia akan menjadi persaingan yang sengit dengan Parti Konservatif, dengan tiada parti memperolehi cukup kerusi untuk membentuk pemerintah majoriti.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita