Mark Carney bakal dilantik sebagai PM baharu Kanada
Mark Carney berucap semasa pelancaran kempen kepimpinan Liberal beliau di Edmonton, pada 16 Januari 2025. (Gambar fail: Jason Franson/The Canadian Press melalui AP)
Encik Carney akan mengambil alih di tengah-tengah tempoh yang bergolak di Kanada, yang kini dalam perang dagang dengan sekutu lama Amerika Syarikat dan perlu mengadakan pilihan raya umum tidak lama lagi.
Beliau, 59 tahun, memperoleh 86 peratus undian untuk mengalahkan mantan Menteri Kewangan Chrystia Freeland dalam pertandingan di mana hampir 152,000 ahli parti mengundi.
Encik Trudeau mengumumkan pada bulan Januari bahawa beliau akan meletak jawatan selepas lebih sembilan tahun berkuasa kerana sokongan terhadapnya merosot, sekali gus menggesa Parti Liberal pemerintah untuk mengadakan pilihan raya segera untuk menggantikannya.
"Ini adalah saat yang menentukan sejarah negara. Demokrasi bukan sesuatu yang pasti. Kebebasan bukan sesuatu yang pasti. Malah Kanada pun bukan sesuatu yang pasti," kata Encik Trudeau.
"Kini, ketika rakyat Kanada menghadapi, dari jiran kita, sebuah krisis ekonomi, rakyat Kanada menunjukkan apa yang kita mampu lakukan."
Encik Carney, seorang tokoh yang baharu dalam dunia politik, berhujah bahawa beliau adalah calon yang paling sesuai untuk menghidupkan semula parti dan mengawasi rundingan perdagangan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, yang mengancam tarif tambahan yang boleh melumpuhkan ekonomi Kanada, yang bergantung kepada eksport.
Encik Carney adalah calon pilihan, dengan sokongan terbanyak daripada anggota parti dan wang paling banyak dikumpulkan antara keempat-empat calon Liberal.
Kemenangannya menandakan kali pertama seseorang tanpa latar belakang politik dipilih menjadi Perdana Menteri Kanada.
Beliau telah mengatakan pengalamannya sebagai orang pertama yang berkhidmat sebagai gabenor dua bank pusat G7 - Kanada dan England - bermakna beliau adalah calon terbaik untuk berurusan dengan Encik Trump.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.