Skip to main content

Dunia

Maritim Malaysia bantah tindakan Polis Pengawal Pantai SG masuk perairan Malaysia

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia membantah tegas tindakan Polis Pengawal Pantai Singapura (PCG) yang dipercayai memasuki perairan Malaysia pada 14 Ogos dan melanggar jaring pukat sebuah bot nelayan tempatan.
Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Saiful Lizan Ibrahim berkata nelayan terbabit sudah membuat aduan kepada pihak polis susulan insiden pihak PCG melanggar pukat miliknya di kedudukan 0.2 batu nautika di Barat Daya Pusat Pemeriksaan Tuas.

Beliau berkata pihak Maritim Malaysia sudah merujuk kepada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bagi proses pengesahan lokasi insiden di atas Peta Baru Malaysia 1979 di mana pihak JUPEM mengesahkan bahawa lokasi kejadian adalah dalam perairan Malaysia.

“Maklum balas pihak JUPEM mengesahkan bahawa lokasi kejadian yang dilaporkan oleh pengadu jelas berada di dalam perairan Laut Wilayah Malaysia berhampiran jambatan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

“Lokasi kejadian juga merupakan kawasan tradisi/lokasi kebiasaan para nelayan tempatan di Johor bagi menangkap ikan dan menjaring udang,” katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya pada Isnin (21 Ogos).

Encik Saiful Lizan berkata Maritim Malaysia merasa kecewa atas tindakan bot PCG.

PCG terbabit yang dilihat bertindak melampau, mengganggu serta merosakkan peralatan nelayan tempatan di samping menunjukkan sikap yang tidak menghormati kedaulatan maritim negara jiran.

"Pihak Maritim Malaysia akan membuat permohonan bantahan diplomatik agar kejadian yang serupa tidak berulang di masa hadapan demi memelihara hubungan baik kedua-dua buah negara,” katanya.

Insiden terbabit juga mengakibatkan nelayan berkenaan terpaksa menanggung kerugian.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita