Skip to main content

Dunia

Marina Mahathir sambut baik umur minimum perkahwinan naik kepada 18 tahun

Aktivis sosial, Marina Mahathir, menyambut baik cadangan untuk menaikkan had umur minimum perkahwinan lelaki dan perempuan dari 16 kepada 18 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Marina Mahathir sambut baik umur minimum perkahwinan naik kepada 18 tahun

Aktivis sosial, Marina Mahathir. (Gambar: Marina Mahathir/Facebook)

Diterbitkan : 04 Sep 2018 09:31AM Dikemas Kini : 04 Sep 2018 09:36AM

KUALA LUMPUR: Aktivis sosial, Marina Mahathir, menyambut baik cadangan untuk menaikkan had umur minimum perkahwinan lelaki dan perempuan dari 16 kepada 18 tahun.

Cik Marina berkata, ini sebagai langkah untuk melindungi hak kanak-kanak daripada dieksploitasi pihak-pihak tertentu, selain mengambil perhatian soal emosi, fizikal dan pendidikan kanak-kanak.

"Ini (had umur minimum 18 tahun) adalah tindakan yang bagus tetapi apa yang kita mahukan adalah pelaksanaan yang tegas dan tidak boleh kahwin sebelum umur itu.

"Sebenarnya, seluruh negara perlu naikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun tetapi kalau ada loopholes (kelonggaran) yang membenarkan perkahwinan bawah umur itu masih jadi masalah.

Misalnya, dalam soal mendapatkan kebenaran Mahkamah Syariah atau pejabat menteri untuk berkahwin," kata beliau selepas rakaman rancangan The Nation terbitan agensi berita Bernama, pada Isnin (3 Sep).

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam (3 Sep) berkenan dengan cadangan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menyelaraskan had umur minimum perkahwinan orang Islam lelaki dan perempuan di negeri itu, dari 16 kepada 18 tahun.

Semasa perasmian Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-14, Sultan Sharafuddin bertitah, baginda memandang serius kes-kes melibatkan perkahwinan kanak-kanak Islam pada usia terlalu muda.

Baginda menegaskan ini terutamanya kanak-kanak perempuan, kerana bimbang dengan risiko kemudaratan masa depan pasangan tersebut serta kesannya kepada masyarakat kelak.

Sementara itu, apabila ditanya mengenai pendidikan seks di Malaysia, Cik Marina berkata selain aspek biologi, kurikulum pendidikan itu juga perlu merangkumi subjek interaksi dan hubungan sesama masyarakat, khususnya cara berkomunikasi dan sikap hormat-menghormati.

Mengulas laporan mengenai dua wanita, berusia 32 dan 22 tahun, yang dihukum sebat enam kali kerana cuba melakukan hubungan seks dalam sebuah kereta di Terengganu, Cik Marina berkata beliau kecewa dengan keputusan itu kerana dianggap mengaibkan individu.

“Dalam Islam, anda tidak boleh melakukan sesuatu yang membawa kerosakan lebih besar kepada seseorang dan jika anda menyebabkan seseorang terasa malu atau trauma, saya kira itu kerosakan besar,” katanya. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita