Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'Manusia silver' Indonesia mengecat tubuh untuk menyara hidup

Ibu tunggal, Puryanti terpaksa melakukan persembahan jalanan bagi menyara hidup di tengah-tengah ekonomi yang gawat akibat pandemik. 

Anggaran Waktu Membaca:
'Manusia silver' Indonesia mengecat tubuh untuk menyara hidup

Ibu tunggal Puryanti (kanan), buat persembahan jalanan di Jakarta, Indonesia demi mencari nafkah di tengah COVID-19 (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 11 Feb 2021 09:45PM Dikemas Kini : 11 Feb 2021 09:48PM

DEPOK: Puryanti, seorang ibu tunggal warga Indonesia, kelihatan membongkok kaku seperti robot bersama anak lelakinya berusia lima tahun dengan tubuh mereka berkilauan dengan cat perak.

Dengan melakukan persembahan jalanan di sebuah persimpangan di pinggir ibu kota Jakarta, mereka mengharapkan orang ramai yang lalu di situ untuk melontarkan sekeping dua duit syiling.

Mereka antara segolongan orang yang digelar "manusia silver" yang menggunakan strategi itu untuk menarik perhatian, dalam usaha mencari sesuap nasi selepas pandemik COVID-19 mengheret ekonomi terbesar Asia Tenggara itu ke dalam kemelesetan tahun lalu.

"Ada yang memberi, ada yang tidak," kata Puryanti, 29, selepas tiga bulan melakukan persembahan harian seperti itu, ditemani oleh anak saudaranya Raffi, 15 tahun. "Kadang-kadang ada orang yang memberi secukupnya."

Pada hari-hari baik, penduduk asal Jawa itu yang merupakan suri rumah sebelum perceraiannya, boleh meraih sekitar 70,000 rupiah (S$6.60), cukup untuk menyara hidup dan membayar sewa.

Puryanti menggunakan cat buatan sendiri, iaitu campuran serbuk pencetakan skrin dan minyak masak, untuk mengecat badan mereka dan menambahkan kesan dramatik pada persembahan robot itu. Beliau berkata cat perak tidak menyebabkan kesan buruk pada kesihatan.

"Saya tidak malu bekerja seperti ini," tambahnya. "Yang penting ini semua untuk anak-anak saya."

Pandemik COVID-19, yang menyebabkan Indonesia mengalami kemelesetannya yang pertama dalam lebih dua dekad, dengan ekonomi menguncup hampir 2.2 peratus pada suku keempat, menimbulkan cabaran bagi jutaan orang dalam sektor tidak formal yang perlu meninggalkan rumah mereka untuk menyara hidup.

Golongan miskin Indonesia membentuk 26.42 juta daripada lebih 270 juta penduduk pada Mac 2020 ketika pandemik bermula, menurut statistik pemerintah. Ini adalah peningkatan sebanyak 1.63 juta berbanding September 2019.

Puryanti telah mendapat kepastian daripada pihak polis bahawa beliau boleh terus bekerja sebagai "manusia silver" buat waktu ini, asalkan beliau mematuhi langkah COVID-19 seperti memakai pelitup.

Namun wanita itu memiliki cita-cita yang lebih tinggi.

"Saya mahu mulakan perniagaan sendiri," ujar beliau.

"Saya mahu membuka sebuah kedai kecil tetapi saya tidak mempunyai wang untuk itu.” 

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan