Skip to main content

Dunia

Mantan Timbalan PM Britain Rayner akan kembali ke Kabinet

Mantan Timbalan Perdana Menteri Britain Angela Rayner akan kembali ke Kabinet, kata Perdana Menteri Keir Starmer dalam satu wawancara akhbar, lapor PA Media/dpa.
Anggaran Waktu Membaca:
Mantan Timbalan PM Britain Rayner akan kembali ke Kabinet
Mantan Timbalan Perdana Menteri Britain Angela Rayner. (Gambar: Facebook/Angela Rayner)
LONDON: Mantan Timbalan Perdana Menteri Britain Angela Rayner akan kembali ke Kabinet, kata Perdana Menteri Keir Starmer dalam satu wawancara akhbar, lapor PA Media/dpa.

Cik Rayner meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Setiausaha Perumahan dan Timbalan Ketua Parti Buruh pada September lalu menyusuli siasatan bebas mengenai etika mendapati beliau melanggar kod menteri berhubung pembayaran duti setem - cukai hartanah - yang tidak mencukupi bagi sebuah rumah pangsa tepi laut.

Dalam wawancara dengan The Observer, Encik Starmer berkata beliau merindui Cik Rayner dan mengatakan bahawa misogini turut memainkan peranan dalam tahap kecaman yang diterima Cik Rayner serta Menteri Kewangan Rachel Reeves sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Selepas menyifatkan Cik Rayner sebagai “kisah mobiliti sosial terbaik yang pernah dilihat negara ini”, Encik Starmer ditanya sama ada beliau merindui mantan timbalannya dan menjawab: “Ya, sudah tentu. Saya sangat sedih apabila kami kehilangannya.

“Seperti yang saya katakan kepadanya ketika itu, beliau akan terus menjadi suara penting dalam gerakan Buruh.”

Ketika ditanya sama ada Cik Rayner akan kembali menganggotai Kabinet, beliau berkata: “Ya. Beliau sangat berbakat.”

Ketua pembangkang daripada Parti Konservatif Kemi Badenoch berhujah di parlimen bulan lalu bahawa sebarang kemunculan semula Cik Rayner perlu disertai syarat bahawa “beliau harus membayar semula £40,000 (S$69,084) cukai hartanah yang dielakkan.”

Awal minggu ini, seorang sumber rapat Cik Rayner berkata beliau “tidak akan diperlakukan seperti bidak catur”, susulan laporan mengenai kemungkinan perjanjian antara beliau dan Setiausaha Kesihatan Wes Streeting untuk bertanding jawatan kepimpinan Parti Buruh.

Sumber itu berkata “tiada kekosongan dan tiada pakatan”, selepas akhbar The Daily Telegraph melaporkan bahawa penyokong Encik Streeting mendesak Cik Rayner menyertai satu “tiket bersama” untuk jawatan tinggi parti.

Encik Starmer menegaskan beliau tidak berhasrat untuk berundur sebelum pilihan raya akan datang.

Beliau berkata: “Apabila saya mengambil alih Parti Buruh, semua orang berkata kepada saya, ‘anda tidak akan mampu mengubah parti’. Kami abaikan dan teruskan.

“Kemudian mereka berkata, ‘anda tidak akan mampu menang pilihan raya’. Kami meraih kemenangan besar bagi Parti Buruh.

Kini, selepas 17 bulan daripada penggal lima tahun Parti Buruh, mereka berkata ‘anda tidak akan mampu mengubah negara.

Setiap kali kami berada dalam situasi sebegini, kami membuktikan sebaliknya. Dan itulah yang saya mahu lakukan.”
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita