Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mantan Timbalan Menteri Awang Hashim tuduh PM Anwar berdendam teruk daripada Dr Mahathir; diberi 3 hari untuk mohon maaf

Anggaran Waktu Membaca:
Mantan Timbalan Menteri Awang Hashim tuduh PM Anwar berdendam teruk daripada Dr Mahathir; diberi 3 hari untuk mohon maaf

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berucap di sebuah sidang media pada 5 Dis 2022. (Gambar fail: Pejabat Perdana Menteri Malaysia/Afiq Hambali)

Diterbitkan : 22 Feb 2023 05:28PM Dikemas Kini : 22 Feb 2023 05:47PM
KUALA LUMPUR: Anwar Ibrahim mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada mantan timbalan menteri Awang Hashim berhubung kenyataan Ahli Parlimen Pendang itu yang menuduh Perdana Menteri Malaysia itu berdendam lebih teruk daripada Dr Mahathir Mohamad.

Menurut peguam Encik Anwar dalam surat bertarikh pada Rabu (22 Feb), Encik Awang dituntut menarik balik kenyataannya secara terbuka, memohon maaf tanpa syarat dan berjanji tidak akan mengulangi dakwaan fitnah itu lagi.

“Kami telah diarahkan oleh pelanggan kami untuk menuntut daripada anda seperti berikut: Menarik balik perkataan fitnah secara terbuka, serta-merta dan tanpa ragu-ragu serta menarik balik semua komen yang menyinggung perasaan dan memfitnah.

“Permohonan maaf tanpa syarat dalam cara dan bentuk yang akan diluluskan oleh kami sebagai penasihat undang-undang untuk disiarkan dalam akhbar dan media pilihan peguam kami.

"Dan aku janji bertulis oleh anda untuk tidak mengulangi sebarang dakwaan atau komen seperti dalam perkataan fitnah dalam artikel."

Surat itu dikeluarkan peguam Encik Anwar dari firma SN Nair & Partners.

Melalui LOD berkenaan juga Encik Anwar menuntut Encik Awang memberikan kos pampasan substantif atas kerosakan reputasinya sebagai perdana menteri serta semua kos perundangan yang timbul daripada perkara tersebut.

“Kami menunggu jawapan anda tanpa sebarang kelewatan. Jika pelanggan kami tidak menerima sebarang maklum balas yang memuaskan dalam tempoh tiga hari dari tarikh notis, arahan kami adalah untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap anda,” kata surat itu, lapor Malaysiakini.

Pada 21 Februari lalu, Encik Awang dilaporkan menuduh Encik Anwar lebih berdendam daripada Dr Mahathir selepas salah seorang pemimpin kanan PN, Wan Saiful Wan Jan, didakwa atas tuduhan rasuah di mahkamah.

Encik Wan Saiful merupakan ketua penerangan Bersatu dan beliau meletakkan jawatan tersebut pada Rabu.

Bersatu dan PAS adalah antara parti komponen PN yang pernah mentadbir negara selama kira-kira 17 bulan. Encik Awang pernah dilantik menjadi timbalan menteri sumber manusia.

Dalam komennya, Encik Awang mempersoalkan mengapa kerajaan tidak membuat sebarang pertuduhan terhadap skandal kapal tempur pesisir (LCS) - kes yang dikaitkan dengan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

“Kami (PN) sebagai pembangkang, ugutlah apa saja… segala tribulasi dan fitnah yang kami hadapi lebih teruk.

“Bagi saya, kalau inilah permulaan PM, dia adalah perdana menteri paling teruk di Malaysia. Malah, Dr Mahathir yang dikata zalim pun tak (sezalim itu) setakat ini.

“Sifat balas dendam PM ini sangat kuat dan sangat pendendam,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen.

Dalam LOD sama, peguam Encik Anwar berkata komen dibuat Encik Awang adalah tidak benar, membebankan, mengelirukan dan tidak munasabah serta berniat jahat.

Menurut laporan Malaysiakini, katanya kenyataan itu dibuat untuk memburukkan imej Encik Anwar di mata orang ramai sama ada di dalam atau luar negara sehingga ia mendedahkan perdana menteri kepada kebencian dan penghinaan.

Menurut LOD tersebut, Encik Anwar tidak pernah campur tangan dalam sebarang siasatan oleh agensi penguatkuasaan di negara tersebut, justeru tiada pendakwaan terpilih dibuat seperti yang dituduh Encik Awang.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan