Mantan Speaker Parlimen Myanmar Win Myint dilantik sebagai Presiden
Parlimen Myanmar memilih Encik Win Myint untuk menjadi Presiden baru negara itu menggantikan Encik Htin Kyaw yang meletak jawatan minggu lalu.
MYANMAR: Parlimen Myanmar memilih Encik Win Myint untuk menjadi Presiden baru negara itu menggantikan Encik Htin Kyaw yang meletak jawatan minggu lalu.
Mantan Speaker Parlimen itu merupakan sekutu rapat Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi.
Dalam pengundian di parlimen siang tadi (28 Mac), para anggota perlu memilih daripada tiga naib Presiden untuk menjadi Presiden Myanmar ke-10. Encik Win Myint menerima 403 daripada 636 undi.
Beliau baru dilantik sebagai Naib Presiden pada Jumaat lalu (23 Mac).
Encik Win Myint mula disebut-sebut akan menjadi Presiden baru setelah beliau meletak jawatan sebagai Speaker Parlimen pada Rabu lalu (21 Mac) sejurus Presiden Htin Kyaw mengumumkan pengundurannya atas sebab kesihatan.
Berusia 67 tahun, Encik Win Myint dilantik sebagai Speaker Parlimen dua tahun lalu dan atas ketokohannya dalam menjalankan tugas dengan tegas.
Sebagai Presiden kelak, mantan peguam itu dijangka memberi tumpuan kepada usaha membanteras rasuah dan menghuraikan pertikaian hak milik tanah.
Berbanding dengan Presiden yang lalu, Encik Win Myint dijangka lebih terlibat dalam urusan negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.