Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mantan Presiden Sri Lanka Rajapaksa mungkin pulang jelang awal Sept

Anggaran Waktu Membaca:
Mantan Presiden Sri Lanka Rajapaksa mungkin pulang jelang awal Sept

Encik Gotabaya Rajapaksa. (Gambar: AFP/Lakruwan Wanniarachchi)

Diterbitkan : 24 Aug 2022 04:16PM Dikemas Kini : 24 Aug 2022 04:17PM
COLOMBO: Mantan Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa dijangka pulang dalam tempoh sekitar dua minggu selepas melarikan diri daripada penunjuk perasaan di negaranya pada Julai. Ini juga bergantung kepada aturan yang dapat dilakukan demi memastikan keselamatannya, lapor dua sumber kepada Reuters pada Selasa (23 Ogos).

Salah satu daripada sumber tersebut menyatakan bahawa kepulangannya mempunyai kaitan dengan kos penginapan semasa beliau tinggal buat sementara di Thailand.

Encik Rajapaksa melarikan diri dari Sri Lanka pada 13 Julai menyusuli tunjuk perasaan besar-besaran di merata Colombo disebabkan krisis ekonomi yang melanda negara itu. Para penunjuk perasaan dilihat menyerbu masuk kediaman rasmi dan pejabat Encik Rajapaksa. Beliau meletak jawatan sebagai presiden selepas tiba di Singapura, di mana beliau kemudiannya berlepas ke Thailand.
Media Sri Lanka melaporkan bahawa Encik Rajapaksa berkemungkinan akan pulang pada Rabu (24 Ogos), tetapi sumber mendedahkan bahawa ketibaannya sudah ditangguh sedang rundingan dijalankan antara Sri Lanka Podujana Peramuna (SLPP) dengan pemerintah berhubung keselamatannya serta isu-isu lain yang menjadi keprihatinan.

"Beliau tentu sekali mahu pulang. Tetapi keselamatan menjadi isu utama dan agensi perisik sudah menasihatkan agar beliau menangguhkan kepulangannya," jelas salah satu sumber iaitu seorang pegawai pemerintah Sri Lanka.

"Beliau mungkin pulang dalam tempoh dua minggu atau bahkan, sebelum itu jika aturan dapat dilakukan bagi keselamatannya."

Sumber kedua pula menyatakan kos tinggi penginapan di Thailand menjadi faktor beliau mahu segera pulang.

"Bil kini mencecah beberapa ratus juta rupee kerana ia termasuk kos bagi jet peribadi, kediaman presiden dan keselamatan sepanjang masa," menurut sumber.

Perbelanjaan beliau ditanggung oleh beberapa penyokong yang rapat dengan keluarga Encik Rajapaksa, menurut sumber lain.

Setiausaha Agung SLPP Sagara Kariyawasam berkata partinya sudahpun bertemu Presiden Ranil Wickremesinghe untuk mendapatkan aturan bagi kepulangan Encik Rajapaksa.

"Kami sudah membuat permintaan agar kepulangannya dikendalikan secepat mungkin," kata Encik Kariyawasam.

Sebaliknya, Presiden Wickremesinghe memberitahu agensi berita Reuters minggu lalu bahawa beliau "tidak dimaklumkan" tentang sebarang rancangan mengenai kepulangan Encik Rajapaksa. Beliau juga menambah bahawa sebarang tindakan undang-undang terhadap Encik Rajapaksa akan dijalankan mengikut undang-undang Sri Lanka.

Sementara itu, Badan Antirasuah Transparency International menjelaskan bahawa Sri Lanka sudahpun berkomunikasi dengan mahkamah tertinggi Sri Lanka untuk mengambil "tindakan terhadap individu yang bertanggungjawab bagi krisis ekonomi sekarang", termasuk dua saudara Encik Rajapaksa, yang juga menyandang jawatan sebagai perdana menteri dan menteri kewangan di bawah kepimpinannya.

Sedang Sri Lanka bergelut dengan salah satu krisis ekonomi paling teruk di negara itu, sebuah pasukan dari Dana Kewangan Antarabangsa dijangka tiba pada Rabu (24 Ogos) untuk membuat perundingan tentang kemungkinan memberi ikat jamin bernilai AS$3 bilion (S$4.18 bilion), yang termasuk rangka kerja penstrukturan semula hutang.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan