Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mantan Presiden Sri Lanka Rajapaksa diarah hadir mahkamah pada 1 Ogos

Anggaran Waktu Membaca:
Mantan Presiden Sri Lanka Rajapaksa diarah hadir mahkamah pada 1 Ogos

Mantan Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa. (Gambar: Ishara S Kodikara/AFP)

COLOMBO: Mahkamah Tinggi Sri Lanka mengeluarkan notis kepada mantan Presiden Gotabaya Rajapaksa, mengarah beliau hadir ke mahkamah pada 1 Ogos untuk petisyen yang mengaitkannya dengan krisis ekonomi negara itu.

Seorang pegawai Mahkamah Tinggi yang enggan namanya didedahkan memberitahu Mediacorp bahawa notis itu dikeluarkan pada Rabu (27 Jul) berhubung sekurang-kurangnya satu petisyen yang difailkan terhadap anggota politik dan kakitangan awam, mendakwa mereka bertanggungjawab terhadap krisis ekonomi.

Salah seorang responden ialah Encik Rajapaksa, yang melarikan diri dari negara itu awal bulan ini dengan menaiki pesawat tentera di tengah-tengah bantahan besar-besaran menuntut beliau meletak jawatan.

Bekas pemimpin itu kini berada di Singapura, di mana pas lawatan jangka pendeknya (STVP) diberi lanjutan 14 hari. Mediacorp difahamkan, berikutan pelanjutan itu, Encik Rajapaksa boleh tinggal di negara ini sehingga 11 Ogos.

Mantan Presiden itu meninggalkan Sri Lanka pada 13 Julai, selepas berlaku bantahan besar-besaran selama beberapa bulan, menyalahkan pemerintahnya atas krisis ekonomi terburuk yang melanda negara itu sejak kemerdekaan pada 1948.

Rakyat Sri Lanka semakin tertekan dengan kos sara hidup yang melambung tinggi, didorong oleh inflasi yang meningkat dan kekurangan pertukaran asing.

Negara itu secara rasmi gagal membuat pembayaran faedah hutang pada bulan Mei. Mata wang asingnya yang semakin berkurangan telah melumpuhkan ekonomi, mengganggu import dan menyebabkan kekurangan makanan, bahan api dan keperluan lain.

Encik Rajapaksa menyerahkan surat peletakan jawatannya dari Singapura. Beliau digantikan oleh mantan Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe, yang dipilih oleh ahli parlimen minggu lalu.

Ketegangan yang semakin reda berikutan peletakan jawatan Encik Rajapaksa itu dijangka mencetuskan gelombang tunjuk perasaan baru jika beliau memutuskan untuk kembali ke negara itu.

"Saya sedar bahawa beliau akan kembali ke negara ini," kata menteri media dan jurucakap Kabinet Bandula Gunawardena dalam sidang media pada Selasa.

"Jika beliau kembali dan jika perlu, pihak berkuasa akan mengambil langkah yang perlu untuk memastikan tiada perkara buruk berlaku kepada mantan presiden."

Tambah jurucakap itu Encik Rajapaksa tidak "bersembunyi" di Singapura.

"Beliau berada di sana menggunakan visa sama seperti orang lain," tambahnya.
Sumber : CNA/SU/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan