Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mantan presiden Sri Lanka dijangka ke Thailand

Anggaran Waktu Membaca:
Mantan presiden Sri Lanka dijangka ke Thailand

Gotabaya Rajapaksa pada 1 Nov 2021. (Gambar: AFP/Pool/Andy Buchanan)

Diterbitkan : 10 Aug 2022 05:06PM Dikemas Kini : 10 Aug 2022 05:08PM
COLOMBO: Presiden Sri Lanka yang digulingkan, Gotabaya Rajapaksa, dijangka tiba di Thailand pada Khamis (11 Ogos) untuk mendapatkan perlindungan sementara di negara kedua Asia Tenggara. Ini selepas beliau melarikan diri dari negaranya bulan lalu di tengah-tengah bantahan besar-besaran, menurut dua sumber.

Encik Rajapaksa tiba di Singapura pada 14 Julai, dari Maldives,
menyusuli pergolakan yang belum pernah berlaku sebelum ini di Sri Lanka. Ia tercetus oleh krisis ekonomi terburuk yang melanda negara itu dalam tujuh dekad dan beberapa hari selepas ribuan pemberontak menyerbu kediaman rasmi serta pejabat presiden.

Pegawai tentera bersara itu kemudian meletakkan jawatan selaku presiden, menjadikan beliau presiden Sri Lanka pertama untuk mengundurkan diri pada pertengahan penggal.

Mantan presiden itu dijangka meninggalkan Singapura untuk ke ibu kota Thailand, Bangkok, pada Khamis (11 Ogos), menurut dua sumber enggan identiti mereka didedahkan.

Kementerian Ehwal Luar Sri Lanka tidak segera memberikan respons apabila diminta untuk mengulas perkara itu.

Sejak meninggalkan Sri Lanka, Encik Rajapaksa belum membuat sebarang penampilan awam mahupun memberikan sebarang komen. Pemerintah Singapura menegaskan tidak memberi keistimewaan atau kekebalan diplomatik kepada mantan presiden itu.
Pengganti Encik Rajapaksa, Ranil Wickremesinghe, sebelum ni mengatakan bahawa mantan presiden sepatutnya hindar daripada kembali ke Sri Lanka dalam masa terdekat.

"Saya tidak yakin ini adalah masa sesuai untuk beliau kembali", kata Encik Wickremesinghe kepada Jurnal Wall Street dalam satu wawancara pada 31 Julai lalu.

Menurut pakar undang-undang, sekiranya Encik Rajapaksa kembali ke Sri Lanka, beliau berkemungkinan tidak akan dilindungi di bawah undang-undang sekiranya sebarang tuduhan difailkan terhadapnya.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan