Skip to main content

Dunia

Mantan Presiden Obama beri amaran AI boleh memudaratkan: NYT

Anggaran Waktu Membaca:
Mantan Presiden Obama beri amaran AI boleh memudaratkan: NYT

Mantan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ketika berucap dalam satu rapat kempen anjuran calon Democrat bagi jawatan Gabenor New Jersey, Mikie Sherrill, di Newark, New Jersey, Amerika Syarikat, pada 1 November 2025. (Gambar: Reuters/Kylie Cooper)

Diterbitkan : 13 Sep 2026 03:13PM
WASHINGTON: Mantan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama memberi amaran bahawa kecerdasan buatan (AI) boleh menjadi "berbahaya" jika tidak diurus dengan baik, dan menggesa parti Democrat agar merangka agenda dasar dan tadbir urus untuk menangani isu tersebut, lapor New York Times pada Ahad (13 Sep).

Komen tersebut dibuat semasa satu acara kutipan dana tertutup baru-baru ini, sedang semakin ramai anggota Kongres Amerika Syarikat menggesa disediakan peraturan lebih ketat berhubung sistem AI, selepas dua penyelidik Anthropic memberi amaran serius bahawa kemajuan pesat industri itu berisiko menyebabkan kepupusan umat manusia.

“Ini sesuatu yang bergerak dengan sangat pantas dalam tangan pihak swasta, dan jika kita tidak menanganinya, saya rasa ia boleh menjadi berbahaya," kata Encik Obama seperti yang dinukil akhbar itu pada Khamis.

Dengan memetik sebahagian transkrip ucapan yang dikeluarkan pejabat Encik Obama, akhbar itu melaporkan beliau menggalakkan Ketua Minoriti Dewan Perwakilan, Hakeem Jeffries, supaya membantu membentuk perbincangan awam mengenai dasar AI sekiranya parti Democrat merampas semula majoriti di Dewan Perwakilan dalam pilihan raya pertengahan penggal pada 3 November.

“Apabila anda menjadi Speaker kelak, saya sangat menggesa parti Democrat supaya mengadakan rangka kerja bagi perbincangan awam yang terbuka mengenai perkara ini,” kata Encik Obama kepada Encik Jeffries, tambah akhbar itu.

Beliau turut menggesa calon-calon bagi pilihan raya presiden 2028 agar menjadikan AI sebagai salah satu agenda utama mereka, dengan rancangan yang sangat jelas untuk menangani kebimbangan berkaitan isu-isu keselamatan dan ekonomi, lapor akhbar itu.

Pejabat Encik Obama tidak segera memberi respons kepada permintaan Reuters untuk mengulas kenyataan beliau itu.

Kebimbangan mengenai kepupusan manusia itu tercetus menyusuli beberapa kes di mana ejen AI bertindak di luar kawalan untuk menggodam sistem luaran, serta penyelidik keselamatan AI yang meninggalkan syarikat masing-masing kerana bimbang tentang risiko teknologi tersebut.

Pada Sabtu, Ketua Pegawai Eksekutif Anthropic Dario Amodei menggesa syarikat-syarikat AI agar memperlahankan usaha meningkatkan keupayaan model AI, menyusuli kebimbangan yang semakin meningkat mengenai penyalahgunaan AI. Kenyataan itu mendapat sokongan Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI Sam Altman dan Elon Musk, yang mengendalikan xAI.
Sumber : Reuters/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita