Skip to main content

Dunia

Mantan Presiden Korea Selatan rayu hukuman penjara seumur hidup diketepikan

Mantan Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol pada Selasa (24 Feb) merayu hukuman penjara seumur hidup terhadapnya diketepikan iaitu atas sabitan melakukan pemberontakan setelah gagal menguatkuasakan undang-undang tentera, lapor agensi berita Yonhap.
Anggaran Waktu Membaca:
Mantan Presiden Korea Selatan rayu hukuman penjara seumur hidup diketepikan
Mantan Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol tiba di mahkamah di Seoul, Korea Selatan, pada 9 Julai 2025. (Gambar fail: Pool via Reuters/Kim Hong-Ji)
 
Diterbitkan : 24 Feb 2026 02:52PM Dikemas Kini : 24 Feb 2026 02:53PM
SEOUL: Mantan Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol pada Selasa (24 Feb) merayu hukuman penjara seumur hidup terhadapnya diketepikan iaitu atas sabitan melakukan pemberontakan setelah gagal menguatkuasakan undang-undang tentera, lapor agensi berita Yonhap.

Rayuan itu difailkan oleh peguamnya lima hari selepas mahkamah menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Yoon kerana mengetuai pemberontakan apabila beliau melaksanakan undang-undang tentera dalam tempoh singkat pada 3 Dis 2024.

“Kami berpendapat kami mempunyai tanggungjawab untuk menunjukkan dengan jelas (apa) masalah dengan keputusan ini bukan sahaja untuk rekod mahkamah tetapi juga untuk rekod sejarah masa depan," menurut kumpulan peguam berkenaan dalam kenyataannya kepada pihak media.

“Kami tidak akan berdiam diri tentang tuduhan berlebihan peguam khas dan keputusan bercanggah mahkamah dengan perbicaraan pertama mengenainya, serta latar belakang politiknya," tambah mereka.

Mahkamah Daerah Seoul yang mengumumkan keputusan itu pada Khamis lalu (19 Feb) berkata Yoon berhasrat untuk melumpuhkan parlimen dengan mengerahkan tentera ke pekarangan kediamannya selepas mengisytiharkan undang-undang tentera, memenuhi definisi pemberontakan seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan.

Mantan presiden itu juga dikatakan merancang jenayah tersebut secara peribadi dan memainkan peranan utama, menanggung kos sosial yang besar namun tidak menyatakan permohonan maaf.

Tujuh defendan lain menerima keputusan mereka bersama Yoon termasuk mantan Menteri Pertahanan Kim Yong-hyun, mantan ketua Polis Negara Cho Ji-ho dan mantan ketua Polis Metropolitan Seoul Kim Bong-sik.

Mantan Menteri Pertahanan tersebut dijatuhi hukuman penjara 30 tahun manakala Cho dikenakan hukuman penjara selama 12 tahun dan mantan ketua Polis Seoul dihukum penjara 10 tahun atas peranan mereka dalam percubaan melaksanakan undang-undang tentera itu.

Yoon sebelum ini dijatuhi hukuman penjara lima tahun dalam perbicaraan berasingan atas pelbagai dakwaan termasuk menghalang percubaan penyiasat untuk menahannya tahun lalu.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita