Skip to main content

Dunia

Mantan presiden Cuba Raul Castro didakwa di Amerika Syarikat

Anggaran Waktu Membaca:
 Mantan presiden Cuba Raul Castro didakwa di Amerika Syarikat

Mantan presiden Cuba Raul Castro. (Gambar: REUTERS/Norlys Perez)

Diterbitkan : 21 May 2026 06:05AM Dikemas Kini : 21 May 2026 06:13AM
KUALA LUMPUR: Mantan Presiden Cuba Raul Castro didakwa di Amerika Syarikat, menurut seorang pegawai kanan pentadbiran Presiden Donald Trump kepada Reuters pada Rabu (20 Mei), dalam langkah yang dilihat meningkatkan kempen tekanan Washington terhadap pemerintah negara kepulauan Caribbean itu. 

Kementerian Luar Cuba tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas perkara itu, lapor Reuters. 

Dakwaan itu dibuat ketika Presiden Donald Trump meningkatkan tekanan bagi perubahan rejim di Cuba, yang diperintah oleh komunis pimpinan Encik Castro sejak mendiang abangnya, Fidel Castro, mengetuai revolusi pada 1959. 

“Amerika tidak akan bertolak ansur dengan negara yang menyimpang daripada norma dan melindungi operasi ketenteraan, risikan serta keganasan asing yang bermusuhan hanya 90 batu dari tanah air Amerika,” kata Encik Trump dalam kenyataan awal Rabu. 

Presiden Cuba Miguel Diaz-Canel berkata pada Isnin bahawa negara kepulauan itu tidak menimbulkan ancaman. 

Pertuduhan terhadap Raul Castro, 94 tahun, dijangka berkait insiden pada 1996 apabila jet Cuba menembak jatuh pesawat yang dikendalikan sekumpulan pelarian Cuba, kata seorang pegawai Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat kepada Reuters minggu lalu dengan syarat tidak dinamakan. 

Pejabat Peguam Amerika Syarikat di Miami merancang menganjurkan acara bermula pukul 1.00 tengah hari bagi memperingati mangsa insiden itu. Jabatan Kehakiman pada Selasa berkata pihaknya akan membuat pengumuman sempena majlis berkenaan, namun tidak memberikan butiran lanjut. 

Amerika Syarikat secara berkesan mengenakan sekatan ke atas Cuba dengan mengancam sekatan terhadap negara yang membekalkan bahan api kepada negara itu, sekali gus mencetuskan gangguan bekalan elektrik dan memburukkan krisis terburuk yang dihadapinya dalam tempoh beberapa dekad. 

Dalam mesej video kepada rakyat Cuba pada Rabu pagi, Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio, yang ibu bapanya merupakan pendatang Cuba ke Amerika Syarikat, menawarkan hubungan baharu antara kedua-dua negara. Beliau berkata Amerika Syarikat boleh menyediakan bantuan berjumlah AS$100 juta (S$127 juta) dan menyalahkan pemimpin Cuba atas kekurangan bekalan elektrik, makanan serta bahan api. 

Berucap dalam bahasa Sepanyol, Encik Rubio berkata makanan dan ubat-ubatan itu mesti diagihkan oleh Gereja Katolik atau kumpulan kebajikan lain yang dipercayai. 

Sebagai respons, Menteri Luar Cuba Bruno Rodriguez menyifatkan Encik Rubio sebagai “jurucakap kepentingan yang korup dan penuh dendam” namun tidak menolak kemungkinan menerima bantuan itu. 

“Beliau terus bercakap mengenai pakej bantuan AS$100 juta yang tidak ditolak Cuba, namun sifat sinisnya jelas kepada sesiapa sahaja memandangkan kesan buruk sekatan ekonomi dan tekanan terhadap tenaga,” tulis Encik Rodriguez dalam catatan di platform X. 

Cuba setakat ini belum mengulas secara langsung mengenai ancaman pendakwaan itu. 

Dilahirkan pada 1931, Encik Raul Castro merupakan tokoh penting bersama abang sulungnya dalam perang gerila yang menggulingkan diktator disokong Amerika Syarikat, Fulgencio Batista. Beliau turut membantu menewaskan pencerobohan Bay of Pigs yang dianjurkan Amerika Syarikat pada 1961. 

Beliau berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan Cuba sebelum mengambil alih jawatan presiden pada 2008 selepas abangnya jatuh sakit. Encik Fidel meninggal dunia pada 2016. 

Encik Raul Castro berundur daripada jawatan presiden pada 2018 namun kekal sebagai tokoh berpengaruh dalam politik Cuba. 

Pemfailan kes jenayah terhadap musuh Amerika Syarikat seperti Castro mengingatkan kepada dakwaan pemerdagangan dadah sebelum ini terhadap bekas Presiden Venezuela Nicolas Maduro, sekutu Havana. 

Pentadbiran Encik Trump menjadikan dakwaan itu sebagai langkah mewajarkan serbuan 3 Januari lalu di Caracas oleh tentera Amerika Syarikat yang menyaksikan Encik Maduro ditangkap dan dibawa ke New York untuk menghadapi pertuduhan. Beliau mengaku tidak bersalah. 

Encik Trump berkata pemerintah komunis Cuba bermain rasuah dan pada Mac mengancam bahawa Cuba “akan menjadi sasaran seterusnya” selepas Venezuela. 

Encik Diaz-Canel berkata pada Isnin bahawa sebarang tindakan ketenteraan Amerika Syarikat terhadap Cuba akan membawa kepada “pertumpahan darah.” 
 
Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita