Skip to main content

Dunia

Mantan Presiden Amerika Joe Biden didiagnos hidap barah prostat agresif

Anggaran Waktu Membaca:
Mantan Presiden Amerika Joe Biden didiagnos hidap barah prostat agresif

Mantan Presiden Joe Biden di sebuah acara di Rumah Putih di Washington, Amerika, pada 31 Oktober 2023. (Gambar: REUTERS/Leah Millis)

Diterbitkan : 19 May 2025 07:25AM Dikemas Kini : 19 May 2025 07:55AM
WASHINGTON: Mantan Presiden Amerika Joe Biden didiagnosis menghidap barah prostat "berbentuk agresif" yang telah merebak ke tulang, menurut kenyataan pejabat beliau pada Ahad (18 Mei).

Encik Biden, 82, didiagnosis pada Jumaat dan beliau serta keluarganya sedang meneliti pilihan rawatan bersama doktor, menurut kenyataan itu.

"Walaupun ini merupakan penyakit yang lebih berbentuk agresif, barah ini nampaknya sensitif terhadap hormon, yang membolehkan ia diuruskan dengan cara yang berkesan," menurut pejabat beliau.

Presiden Amerika Donald Trump berkata pada Ahad bahawa beliau "bersedih" dengan berita itu.

"Melania dan saya bersedih mendengar tentang diagnosis perubatan terbaharu Joe Biden.

"Kami mendoakan Joe cepat dan berjaya sembuh," kata Encik Trump, yang berulang kali mengkritik Encik Biden kerana kemampuan kognitif dan gaya kepimpinannya yang dikatakan telah dimamah usia, di platform Truth Social miliknya.

Naib Presiden Encik Biden, Cik Kamala Harris berkata: "Saya tahu beliau akan menghadapi cabaran ini dengan kekuatan, ketabahan, dan sikap optimis yang sentiasa menjadi asas hidup dan kepimpinannya. Kami berharap beliau akan pulih sepenuhnya dengan cepat."

Encik Biden, yang berkhidmat sebagai presiden dari 2021 hingga 2025, secara tiba-tiba menamatkan usaha pemilihan semula beliau pada Julai lalu, beberapa minggu selepas prestasi yang goyah semasa debat menentang calon Republican, Encik Trump, mencetuskan panik dalam kalangan anggota Democrat.

Cik Harris mengambil alih sebagai calon parti tetapi kalah pada November di tangan Trump.

Kesihatan fizikal dan ketajaman mental Encik Biden telah menarik perhatian media secara meluas, bahkan sebelum debat itu.

Pada waktu beliau dipilih, Encik Biden merupakan individu tertua yang pernah memenangi jawatan presiden.

Encik Trump, 78, memecahkan rekod itu apabila beliau menewaskan Cik Harris tahun lalu.

Beberapa tokoh Democrat terkenal baru-baru ini mengakui bahawa adalah satu kesilapan untuk mencalonkan Encik Biden, menyusuli kebimbangan pengundi mengenai usianya.

Sebelum debat itu diadakan, tinjauan Reuters/Ipsos menunjukkan majoriti rakyat Amerika, termasuk kebanyakan anggota Democrat, percaya Encik Biden terlalu tua untuk berkhidmat bagi penggal kedua.

"Ia adalah satu kesilapan bagi parti Democrat kerana tidak mendengar suara pengundi lebih awal," kata Senator Demokrat Amerika Chris Murphy kepada rancangan 'Meet the Press' di NBC News pada pagi Ahad, sebelum diagnosis Encik Biden diumumkan.

Encik Biden kehilangan anaknya, Beau Biden, pada tahun 2015 akibat barah otak.

Pada 2022, Encik Biden menghidupkan semula program di bawah Encik Obama yang dikenali sebagai 'Cancer Moonshot', yang bertujuan mengurangkan kadar kematian akibat barah sekurang-kurangnya 50 peratus dalam tempoh 25 tahun akan datang.
Sumber : Agensi berita/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita