Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mantan PM Thaksin dihukum penjara 8 tahun sejurus pulang ke tanah air

Anggaran Waktu Membaca:
Mantan PM Thaksin dihukum penjara 8 tahun sejurus pulang ke tanah air

(Gambar: AFP/Manan VATSYAYANA)

BANGKOK: Mantan Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, dipenjarakan sejurus selepas pulang ke tanah air pada Selasa (22 Ogos) selepas hidup dalam buangan selama 15 tahun.

Sekalipun demikian, tempoh hukuman penjaranya mungkin disingkatkan dengan partinya semakin hampir menggenggam kembali kuasa memerintah negara.
Hartawan itu tiba dengan jet privet di Lapangan Terbang Don Mueang Bangkok pada pukul 9.00 pagi (waktu tempatan), disambut meriah oleh ratusan penyokong "Baju Merah" yang melambai-lambaikan kain rentang sambil bernyanyi.

Encik Thaksin, 74 tahun, muncul dari bangunan terminal itu untuk menunduk seketika dan diberikan kalungan bunga pada gambar Raja Maha Vajiralongkorn sebagai tanda hormat sebelum melambai kepada para penyokongnya.

Lebih ramai penyokong Baju Merah beratur di jalan-jalan raya sedang mantan pemilik kelab bola sepak England Manchester City itu dibawa ke Mahkamah Tinggi.

Di sana, beliau diarahkan menjalani hukuman penjara lapan tahun atas tiga sabitan yang dijatuhkan semasa ketiadaannya - satu berkait bekas syarikatnya Shin Corp, satu lagi berkait pinjaman bank dan satu bersabit kes loteri.

Namun tidak jelas berapa lama Encik Thaksin akan berada di penjara.

Beliau melarikan diri ke luar negara pada 2008 untuk mengelakkan daripada dipenjara atas kesalahan menyalahgunakan kuasa, dua tahun selepas pihak tentera menggulingkan kerajaan pimpinannya dengan mendakwa beliau menerima rasuah dan tidak setia kepada Raja. Encik Thaksin menolak semua dakwaan tersebut.

Para pegawai penjara berkata beliau akan dipantau rapi semasa di penjara disebabkan keadaan kesihatannya, termasuk isu tekanan darah, paru-paru, jantung dan tulang belakang.

Para pegawai memberitahu sidang media bahawa Encik Thaksin akan ditempatkan di bahagian bangunan penjara yang menyediakan peralatan perubatan untuk memastikan beliau menerima rawatan tepat pada masanya disebabkan usianya yang sudah lanjut.

Encik Thaksin pulang hanya beberapa jam sebelum parlimen Thai dijangka mengundi hartawan hartanah Srettha Thavisin sebagai perdana menteri baru.

Waktu kepulangan Encik Thaksin, dengan partinya di ambang kemenangan, mencetuskan spekulasi bahawa satu persetujuan belakang tabir sudah dibuat untuk membolehkan hukuman beliau diringankan.
Sumber : CNA/NK/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan