Mantan PM Thai Thaksin Shinawatra mohon pengampunan diraja
Mantan Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra mengemukakan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja bagi hukuman penjara setahun yang sedang dijalaninya, menurut peguamnya pada Isnin (29 Sep).
Mantan Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra tiba di Mahkamah Agung di Bangkok, Thailand pada 9 September 2025. (Gambar fail: REUTERS/Chalinee Thirasupa)
Thaksin dipenjarakan awal bulan ini setelah Mahkamah Agung Thailand memutuskan bahawa beliau tidak menjalani hukuman penjara asalnya. Ini kerana dia berada di sayap VIP sebuah hospital selama enam bulan, selepas pulang dari hidup dalam buangan selama 15 tahun pada Ogos 2023.
Thaksin, 76 tahun, pada mulanya dijatuhi hukuman penjara lapan tahun kerana konflik kepentingan dan salah guna kuasa semasa dia menjadi perdana menteri dari 2001 hingga 2006. Hukuman itu kemudian dipendekkan kepada setahun oleh raja.
Permintaan Thaksin untuk mendapatkan pengampunan diraja, iaitu proses yang boleh dipohon oleh semua banduan setelah prosiding mahkamah selesai, boleh mengurangkan tempoh hukuman penjaranya.
“Petisyen itu sudah diserahkan,” kata Winyat Chartmontree kepada wartawan, sambil menambah: “Ini adalah hak setiap banduan.” Mantan perdana menteri itu terus menjadi figura penting dalam politik Thailand selama hampir tiga dekad, dengan memenangi hampir setiap pilihan raya sejak 2001.
Gaya beliau yang lantang dan tahap popularitinya yang tinggi sering mengundang tentangan daripada golongan elit lama dan jeneral konservatif negara tersebut. Akibatnya, enam pentadbiran yang dikaitkan dengan keluarga Shinawatra digulingkan melalui keputusan mahkamah dan rampasan kuasa.
Pemenjaraan beliau berlaku selepas mahkamah memecat anak perempuannya, Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra, pada Ogos lalu kerana melanggar etika berhubung satu panggilan telefon yang dibocorkan, di mana beliau dituduh tunduk kepada mantan pemimpin Kemboja, Hun Sen, di tengah-tengah konflik sempadan antara kedua-dua negara.
Kejatuhan kerajaan Paetongtarn membuka jalan untuk mantan hartawan pembinaan, Anutin Charnvirakul, menjadi perdana menteri.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.