Mantan PM Thai Thaksin Shinawatra dapat pengampunan diraja
Mantan Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra (tengah) tiba di Lapangan Terbang Don Muang di Bangkok, Thailand, pada 22 Ogos 2023. (Gambar fail : AP Photo/Sakchai Lalit)
Tempoh parol Encik Thaksin sepatutnya berakhir pada hujung bulan ini.
Ia bagaimanapun ditamatkan lebih awal sebagai sebahagian daripada pengampunan diraja untuk banduan yang berkelakuan baik sempena ulang tahun Raja Maha Vajiralongkorn pada bulan lalu.
Encik Thaksin pulang ke Thailand pada 2023 selepas 15 tahun hidup dalam buangan.
Encik Thaksin disabitkan dengan kesalahan salah guna kuasa dan konflik kepentingan dan dijatuhkan hukuman penjara selama lapan tahun, yang kemudian ditukar menjadi satu tahun oleh Raja Thai.
Encik Thaksin dibebaskan dengan parol pada 18 Feb selepas enam bulan dalam tahanan.
Taikun berusia 74 tahun itu, yang parti keluarganya - Pheu Thai menerajui kerajaan Thai buat masa ini - telah diberikan parol walaupun tidak menghabiskan satu malam di penjara.
Para Anggota Parlimen Thailand pada Jumaat memilih anak perempuannya yang berusia 37 tahun - Paetongtarn Shinawatra - sebagai perdana menteri baharu Thailand.
Cik Paetongtarn melepasi ambang yang diperlukan iaitu 51 peratus undi dan pengundian itu dijalankan beberapa hari selepas Mahkamah Perlembagaan melucutkan Encik Srettha Thavisin daripada jawatan perdana menteri kerana melantik seorang menteri Kabinet dengan sabitan jenayah.
Cik Paetongtarn akan menerima pengesahan diraja daripada Raja Maha Vajiralongkorn dalam satu upacara yang akan diadakan pada Ahad (18 Ogos).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.