Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mantan PM Malaysia Muhyiddin Yassin nafi fitnah Ahmad Zahid

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin mendakwa kenyataan beliau bahawa Dr Ahmad Zahid Hamidi telah memintanya untuk campur tangan dalam kes jenayah mantan Timbalan Perdana Menteri itu di mahkamah adalah benar dan bukan memfitnah.

Encik Muhyiddin, 74 tahun, dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 9 Mei, mendakwa kenyataan yang dibuat semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di Mersing di pekarangan Pusat Pembelajaran Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3 pada 16 Feb lepas sebahagian besarnya dijustifikasikan sebagai benar dan merupakan komen adil serta berkepentingan awam.

Menurutnya, beliau juga tidak mempunyai kawalan dan tidak bertanggungjawab atas penerbitan kenyataan itu yang dibuat oleh Astro Awani di akaun YouTube serta KiniTV, Malaysiakini, Utusan Malaysia atau mana-mana portal berita dalam talian lain.

"Saya menyatakan bahawa tiada sebarang niat jahat daripada pihak saya dalam menerbitkan pernyataan tersebut. Secara khususnya saya menafikan bahawa penerbitan tersebut telah dibuat bertujuan untuk merendahkan reputasi plaintif  di khalayak umum," katanya.

Menerusi saman yang difailkan pada 4 April lepas, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memohon perintah injunksi secara ex-parte supaya Encik Muhyiddin selaku defendan, atau wakilnya, menarik balik kenyataan fitnah tersebut atau kenyataan fitnah serupa terhadap beliau. 

Dr Ahmad Zahid, 69 tahun, juga memohon perintah injunksi sementara bagi menghalang defendan, pegawai dan pembantunya serta ejen dan wakilnya daripada mengeluar, menerbit, mengedar atau menyebarkan kenyataan fitnah itu atau kenyataan fitnah serupa di mana-mana wadah media sosial termasuk Facebook, Instagram, Twitter dan WhatsApp.

Turut diminta perintah injunksi sementara bagi mengarahkan defendan agar memadam, menyunting dan menghentikan penerbitan sebahagian rakaman video majlis itu yang didakwa mengandungi fitnah di portal berita dalam talian serta media sosial antaranya di Facebook profil 'Perikatan Nasional,' YouTube Astro Awani dan KiniTV.

Selain itu, plaintif memohon perintah injunksi sementara mengarahkan defendan menulis kepada mana-mana penerbit, penyunting, pengendali dan pemilik portal-portal berita dalam talian atau platform media sosial yang menerbitkan kenyataan fitnah itu supaya memadam dan menghentikan penerbitan fitnah berkenaan.

Dr Ahmad Zahid mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau menggunakan jalan pintas untuk menyelesai dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan, meminta pertolongan Encik Muhyiddin untuk mencampuri urusan perbicaraan kes terbabit, mencampuri sistem kehakiman, mengarahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor dan bukan pemimpin yang patut dihormati, diteladani serta disegani.

Beliau berkata kenyataan fitnah itu adalah palsu serta bertujuan menjatuhkan reputasi dan nama baiknya. Dr Ahmad Zahid juga mendakwa kenyataan fitnah itu dikeluarkan oleh defendan selepas pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya berkaitan PRN Johor.

Sementara itu, peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman, yang mewakili Dr Ahmad Zahid, ketika dihubungi berkata pengurusan kes saman tersebut ditetapkan pada 25 Mei ini.

Sumber : Bernama/SU/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan