Mantan PM Malaysia Mahathir dimasukkan ke hospital akibat keletihan
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad, dimasukkan ke hospital akibat keletihan, menurut pejabat beliau pada Ahad (13 Jul), selepas media melaporkan bahawa beliau meninggalkan acara berkelah sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-100 lebih awal daripada dijadualkan.
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad, mengadakan sidang media di Putrajaya, Malaysia pada 10 Disember 2024. (Gambar fail: REUTERS/Hasnoor Hussain)
Dr Mahathir mempunyai sejarah masalah jantung dan pernah menjalani beberapa pembedahan pintasan. Beliau juga dimasukkan ke hospital berulang kali dalam beberapa tahun kebelakangan ini, yang terbaru pada Oktober lalu kerana jangkitan saluran pernafasan.
Menurut pejabat beliau, Dr Mahathir kini berada di bawah pemantauan di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur kerana masalah berkaitan keletihan. “Beliau sedang berehat dan dijangka pulang ke rumah petang ini,” menurut kenyataan tersebut.
Seorang mantan ahli parlimen sehingga 2022, Dr Mahathir dilaporkan memandu sendiri ke acara sambutan yang diadakan pada Ahad, yang turut meraikan ulang tahun kelahiran isterinya, Dr Siti Hasmah Mohd Ali, yang ke-99 sehari sebelumnya, lapor media tempatan.
Menurut laporan itu, beliau menyertai satu acara berbasikal dan menunggang selama sejam sebelum kelihatan letih.
Beliau kemudian duduk di atas kerusi untuk berehat sebelum menuju ke meja sarapan bagi acara berkelah tersebut.
Hari lahir Dr Mahathir jatuh pada Khamis lalu.
Anaknya, Mokhzani Mahathir, berkata tiada isu kesihatan serius yang membimbangkan, lapor Malay Mail.
Beliau menambah bahawa bapanya hanya keletihan selepas menghadiri satu majlis pada malam sebelumnya dan tidak mendapat tidur yang cukup.
Dr Mahathir merupakan perdana menteri Malaysia selama 22 tahun sehingga 2003. Beliau kembali memegang jawatan itu pada 2018 selepas mengetuai pakatan pembangkang meraih kemenangan bersejarah, namun pemerintahannya tumbang dalam tempoh kurang dua tahun akibat pergolakan dalaman.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.