Skip to main content

Dunia

Mantan PM Malaysia Ismail Sabri kini suspek kes rasuah

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan mantan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kini dianggap suspek dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram yang sedang disiasat oleh agensi tersebut. Ini bermakna dia juga bukan lagi seorang saksi.

Anggaran Waktu Membaca:
Mantan PM Malaysia Ismail Sabri kini suspek kes rasuah

Ismail Sabri Yaakob merupakan Perdana Menteri Malaysia pada 2021 hingga 2022. (Gambar: AP/Ahmad Yusni)

Diterbitkan : 03 Mar 2025 03:36PM Dikemas Kini : 03 Mar 2025 03:37PM
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan mantan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kini dianggap suspek dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram yang sedang disiasat oleh agensi tersebut. Ini bermakna dia juga bukan lagi seorang saksi.

Berdasarkan laporan BH Online, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengatakan bahawa hal tersebut berikutan penemuan wang tunai sekitar RM170 juta (S$51 juta) dalam sebuah rumah selamat atau 'safehouse' susulan serbuan yang dilakukan pihaknya.

Dengan itu, Encik Azam berkata antara tindakan yang diambil SPRM terhadap Ismail Sabri pada ketika ini adalah meminta beliau melakukan perincian harta mengikut Seksyen 36 Akta SPRM.

"Penemuan wang tunai berjumlah RM170 juta dalam 'safehouse' berkenaan mengesahkan Ahli Parlimen Bera sebagai seorang suspek.

"Dalam hal ini saya boleh katakan beliau adalah suspek kes ini, kerana beliau sudah diminta memperincikan harta mengikut Seksyen 36 Akta SPRM (pengisytiharan harta).

"(Yang) kedua apabila penemuan wang ini dan beliau antara yang dikaitkan, maka kita perlu mendapatkan penjelasan daripadanya mengenai penemuan wang itu," tambah Encik Azam.

Sebelum ini, SPRM dilapor akan memanggil 10 lagi saksi dalam siasatan pengisytiharan harta berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Perdana Menteri kesembilan itu.

Ia susulan penahanan empat individu termasuk bekas pegawai kanan Ismail Sabri, manakala Ahli Parlimen Bera itu dipanggil SPRM minggu lalu, lapor BH Online.

Awal daripada itu, SPRM mendedahkan wang tunai ratusan jutaan ringgit dan barangan berharga dirampas dalam tiga premis termasuk sebuah 'safehouse' yang terkait kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ismail Sabri.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita