Skip to main content

Dunia

Mantan PM Malaysia Ismail Sabri didakwa gagal isytihar harta

Anggaran Waktu Membaca:
Mantan PM Malaysia Ismail Sabri didakwa gagal isytihar harta

Mantan Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi kes pengisytiharan hartanya pada 27 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)

Diterbitkan : 27 Aug 2026 11:47AM
  • Ismail Sabri Yaakob, mantan Perdana Menteri Malaysia, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kegagalan mengisytiharkan harta mengikut undang-undang antirasuah.
  • Pertuduhan berkait siasatan SPRM terhadap dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana kerajaan RM700 juta semasa pentadbirannya.
  • SPRM merampas wang tunai, jongkong emas, barang kemas dan menahan empat bekas pegawai Ismail Sabri dalam operasi di beberapa premis.
  • Ismail Sabri mengaku tidak bersalah, dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun serta didenda RM100,000.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis (27 Ogos) atas pertuduhan gagal mengisytiharkan hartanya mengikut undang-undang antirasuah negara itu.

Ismail Sabri, 66 tahun, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibacakan terhadapnya.

Beliau pada awalnya dijadual didakwa pada 7 Ogos, namun prosiding mahkamah ditangguhkan sehingga 27 Ogos selepas beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).

Beliau menjalani prosedur memasang alat tentukan rentak jantung.

Jika sabit kesalahan, Ismail Sabri boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda RM100,000 (S$32,300).

Ismail Sabri merupakan Perdana Menteri Malaysia dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Beliau sebelum ini menjadi tumpuan siasatan berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram serta dipanggil SPRM beberapa kali untuk memberi keterangan tahun lalu.

SPRM menyelesaikan siasatannya pada Jun 2025.
Related article image
Mantan Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob melalui alat pengesan logam di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur menjelang kes pengisytiharan hartanya pada 27 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)
SIASATAN LIBATKAN RM700 JUTA

Pada Mac 2025, Ismail Sabri dinamakan sebagai suspek dalam siasatan rasuah melibatkan dana pemerintah berjumlah RM700 juta (S$226.2 juta).

Wang tersebut didakwa dibelanjakan sebagai sebahagian daripada kempen promosi "Keluarga Malaysia" semasa pentadbirannya.

Konsep "Keluarga Malaysia" diperkenalkan Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri.

SPRM ketika itu menyatakan pihaknya merampas wang tunai dalam ringgit dan mata wang asing bernilai kira-kira RM170 juta (S$54.9 juta), 16 kilogram jongkong emas bernilai RM7 juta (S$2.3 juta), selain barang kemas dan jam tangan mewah.

Barang-barang tersebut dirampas dari beberapa premis yang dipercayai digunakan sebagai "rumah selamat".

Empat bekas pegawai Ismail Sabri turut ditangkap berhubung siasatan tersebut.

Ismail Sabri merupakan mantan Perdana Menteri Malaysia ketiga yang berdepan siasatan rasuah selepas Najib Razak dan Muhyiddin Yassin.

Beliau juga merupakan Perdana Menteri Malaysia yang paling singkat berkhidmat.
Sumber : Agensi berita/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita