Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mantan PM Malaysia antara 4 individu disiasat atas perbelanjaan kerajaan bernilai RM700 juta

Anggaran Waktu Membaca:
Mantan PM Malaysia antara 4 individu disiasat atas perbelanjaan kerajaan bernilai RM700 juta

Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki. (Gambar fail: Bernama)

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan mantan Perdana Menteri antara empat individu yang akan dipanggil berhubung siasatan proses dan tatacara perbelanjaan kerajaan antara tempoh 2020 hingga 2022, yang menggunakan dana RM700 juta (S$200 juta) bagi tujuan promosi dan publisiti.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki memberitahu, mereka akan dipanggil selewat-lewatnya pada minggu depan.

"(Kita akan panggil mereka) minggu ini, atau paling lewat pun minggu depan. Tapi setakat ini, hanya satu.

"Kita akan panggil Perdana Menteri, mantan dan pegawai-pegawai beliau," katanya kepada pemberita selepas Simposium Tata Kelola Baik Nasional 2024 pada Isnin (8 Jan), lapor Astro Awani.

Majlis yang diadakan serentak dengan peluncuran Arahan Perdana Menteri No.1 Tahun 2023: Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional itu dirasmikan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Encik Azam memberitahu, siasatan pada ketika ini tertumpu kepada bagaimana dana itu dibelanjakan bagi tujuan promosi dan publisiti untuk menghebahkan pencapaian kerajaan dalam tempoh 2020 hingga 2022 ketika pentadbiran dua Perdana Menteri sebelum ini.

"Apa yang penting, kita nak tengok bagaimana duit tersebut dibelanjakan. Bukan kepada bagaimana dana tersebut diputuskan atau diluluskan tetapi (siasatan) berkaitan bagaimana wang tersebut dibelanjakan dan syarikat-syatikat yang dapat," tambahnya lagi, lapor agensi berita Astro Awani.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan Persekutuan membelanjakan sehingga RM700 juta (S$200 juta) untuk pengiklanan, promosi dan publisiti bagi menghebahkan agenda kerajaan bagi tempoh 2020 hingga 2022.

Perbelanjaan berkenaan digunakan dua pentadbiran terdahulu dalam menguar-uarkan pencapaian dan usaha kerajaan, lapor Astro Awani.

Sebelum ini, SPRM dilaporkan berkata pihaknya membuka kertas siasatan mengenai perbelanjaan itu, malah akan memanggil bekas pemimpin tertinggi kerajaan berhubung siasatan itu.

Baru-baru ini, polis mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana RM700 juta (S$200 juta) oleh dua kerajaan terdahulu untuk iklan dan publisiti bagi menghebahkan agenda kerajaan dalam tempoh 2020 hingga 2022.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sebelum itu menulis di catatan media sosial X, berhubung perbelanjaan itu dan berkata, rakyat berhak tahu bagaimana RM700 juta (S$200 juta)bagi iklan dan publisiti dibelanjakan oleh dua kerajaan terdahulu.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan