Mantan PM Jepun Shinzo Abe meninggal dunia

Mantan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe. (Gambar fail: Reuters/Pool/Tomohiro Ohsumi)
TOKYO: Mantan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe meninggal dunia.
Demikian menurut laporan stesen penyiar NHK hari ini (8 Jul).
Encik Abe, 67 tahun, sedang menyampaikan ucapannya berdekatan sebuah stesen kereta api di bandar barat Nara apabila beliau ditembak oleh seorang penyerang.
Dalam kemas kini terbaru, Encik Abe meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami selepas beliau ditembak hari ini.
Tiada degupan jantung dikesan sebaik sahaja beliau tiba di hospital dan para doktor mencuba sedaya upaya untuk menyedarkannya, menurut jurucakap hospital. Mantan perdana menteri itu meninggal dunia sekitar pukul 5.00 petang waktu tempatan.
Rakaman siaran NHK menunjukkan Encik Abe sedang berdiri di atas pentas apabila satu letupan kuat didengar dengan asap dilihat di udara.
Beliau rebah selepas ditembak dan segera dikejarkan ke hospital. Seorang pegawai jabatan bomba sebelum ini berkata Encik Abe dilihat seperti mengalami serangan jantung.
Polis menyatakan seorang lelaki berusia 41 tahun yang disyaki melepaskan tembakan itu sudahpun ditangkap. NHK memetik suspek itu, yang dikenal pasti sebagai Tetsuya Yamagami, sebagai memberitahu polis bahawa dia tidak berpuas hati dengan Encik Abe dan mahu membunuhnya.
Ia adalah pembunuhan pertama terhadap seorang perdana menteri atau mantan perdana menteri Jepun sejak zaman ketenteraan sebelum perang pada tahun 1930-an.
Berucap sebelum kematian Encik Abe diumumkan, Perdana Menteri Fumio Kishida mengutuk "keras" insiden tembakan itu sementara warga Jepun dan para pemimpin dunia meluahkan rasa terkejut atas keganasan di negara, yang mana keganasan politik jarang-jarang berlaku dan senjata api dikawal ketat.
"Serangan ini adalah tindakan kejam yang berlaku semasa pilihan raya - yang benar-benar menjadi asas demokrasi kita - dan tidak dapat dimaafkan sama sekali," tegas Encik Kishida.
Polis menyatakan penembak yang disyaki itu adalah penduduk Nara. Senjata yang digunakan dalam tembakan itu kelihatan seperti senjata api yang dibuat sendiri, dedah NHK.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.